DELEGASI Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) menyertai acara jalan kaki bersama beberapa menteri Indonesia dan wartawan kanan Republik itu menerusi platform Komengsong pada acara Car Free Day Jakarta hari ini.
Komengsong adalah – Komuniti WhatsApp Omong Kosong – melibatkan sejumlah menteri, duta besar, dan ketua-ketua pengarang media.
ISWAMI Malaysia diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Zulkefli Hamzah, Penasihat, Datuk Zakaria Abdul Wahab, Setiausaha, Mohd Shukri Ishak dan enam lagi anggota Sekretariat .
ISWAMI Indonesia diwakili Presidennya Asro Kamal Rokan dan Ahli Kehormat, Ilham Bintang.
Antara pemimpin Indonesia yang hadir antaranya, Ketua Majlis Permusyuwaratan Rakyat (MPR) Bambang Soesatyo, Menteri Luar Negeri Retno Marsudi dan Menteri Perhubungan Budi Karya Sumadi.
Kepimpinan ISWAMI kemudian turut meluangkan masa bertukar fikiran dengan beberapa menteri Indonesia yang hadir bagi memperkukuhkan lagi hubungan wartawan kedua-dua negara.
Acara Car Free Day Jakarta itu dilaksanakan semula sejak Jun lalu selepas pandemik COVID-19, iaitu dengan penutupan beberapa jalan utama di ibu negara dari dilalui kenderaan .
Ini membolehkan masyarakat ibu negara Indonesia itu berjalan kaki serta berbasikal bermula dari 6 pagi hingga 11 pagi melibatkan jarak 8 kilometer.

