Azura (kiri) menjadi mangsa sindiket Macau Scam pada Julai lalu.

KECOH di media sosial sejak tiga hari lalu apabila seorang pakar perunding perubatan dan nefrologi, Dr. Rafidah Abdullah berkongsi kehilangan wang simpanannya sebanyak RM13,000 dalam sekelip mata.

Kisahnya tular apabila beliau membuat satu hantaran di media sosial mempersoalkan tahap keselamatan sebuah bank selepas hampir 30 tahun setia bersama institusi kewangan tersebut.

Terpanggil oleh kisah itu, seorang suri rumah turut berkongsi cerita kehilangan wang simpanannya bernilai RM163,000 dan ia mula mendapat perhatian netizen sejak semalam.

Azura Adnan, 37, memuat naik satu hantaran berbunyi “Duit saya lagi banyak kena scam tinggal lagi kes tak viral sahaja.. Hancur lebur kemurungan.. 163K x akan boleh lupa sampai bila2..” di laman Facebook miliknya Azura Photobook.

Bercerita kepada UtusanTV, Azura mengatakan kejadian berlaku pada Julai lalu, dan ia merupakan detik paling perit diterima selepas kehilangan wang dalam jumlah yang begitu banyak.

Gambar transaksi yang dilakukan kepada sindiket Macau Scam.

Katanya, semuanya bermula selepas dia menerima satu panggilan telefon daripada sebuah syarikat penghantaran barang.

“Pekerja penghantaran memaklumkan dia telah menghantar barang terlarang dan ia berada di balai polis,” katanya yang juga merupakan seorang peniaga.

Tambahnya, selepas berbual dengan pekerja tersebut, panggilan kemudian disambung kepada seorang individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

“Lelaki itu kemudian memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman,” ceritanya.

Baca artikel berkaitan : Pesara rugi RM1.34 juta diperdaya sindiket Macau Scam

Azura mengatakan, pegawai tersebut memberitahu dia terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

“Ketika itu, saya keseorangan di rumah, dan saya terus panik serta ketakutan, yang akhirnya bertindak menurut segala arahan pegawai berkenaan.

“Malah, ‘pegawai’ itu juga telah mengugut mahu mengeluarkan waran tangkap serta memberi arahan supaya perkara tersebut tidak didedahkan kepada orang lain,” katanya.

Laporan polis yang dibuat oleh Azura selepas tersedar diperdaya sindiket Macau Scam.

Ujarnya, dia seolah-olah terpukau dan menuruti semua arahan dengan melakukan beberapa transaksi.

“Semua transaksi dibuat dalam tempoh masa dua hari berjumlah RM163,000,” tambahnya lagi.

Namun, semuanya sudah terlewat dan Azura hanya menyedari telah ditipu sindiket terbabit pada 5 Julai selepas berkongsi cerita dengan suaminya.

“Saya terduduk dan dunia gelap sebentar apabila menyedari perbuatan saya,” katanya.

Jelas Azura, dia cakna akan jenayah Macau Scam ini, tetapi tidak menyangka akan menjadi mangsa sindiket penipuan tersebut.

Ujarnya, Azura kini reda akan ujian yang ditimpa dan percaya ada hikmah di sebaliknya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram