Khairuddin menang saman ke atas Khalid, Apandi Ali dan 6 lain

Dari Penulis

AHLI politik, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini memperoleh ganti rugi RM300,000 oleh Mahkamah Tinggi kerana ditahan menyalahi undang-undang, tujuh tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon membenarkan saman Khairuddin terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan enam individu lain berhubung penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

 “Saya membenarkan tuntutan plaintif bagi tahanan menyalahi undang-undang dan memberikan ganti rugi sebanyak RM300,000. Tetapi saya menolak tuntutan plaintif untuk pendakwaan berniat jahat,” kata Quay ketika menyampaikan keputusan melalui prosiding secara dalam talian hari ini.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Khairuddin, selaku plaintif manakala Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi mewakili lapan defendan.

Selain Khalid dan Mohamed Apandi, enam individu yang dinamakan sebagai defendan ialah ASP Wan Aeidil Wan Abdullah dan ASP C. Muniandy, kedua-duanya pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman; Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Supt Habibi Majinji, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud, Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Kerajaan Malaysia. 

Dalam saman yang difailkan pada Mei 2018, Khairuddin mendakwa beliau telah ditahan pihak berkuasa pada 18 Sept 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Pada 23 Sept tahun sama selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut SOSMA dan telah berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos RM50,000 kepada Khairuddin.

Quay dalam penghakimannya berkata defendan telah menyalahi undang-undang menangkap dan menahan plaintif di bawah SOSMA.

Bagi tangkapan pertama selama enam hari dari 18 Sept hingga 23 Sept 2015, di bawah Seksyen 124C, defendan berhujah bahawa adanya laporan polis pengadu dengan sendirinya adalah bukti yang mencukupi bahawa keperluan tangkapan telah dipenuhi, yang disangkal oleh hakim.

“Untuk menentukan sama ada penahanan adalah wajar bergantung sama ada defendan mempunyai ‘maklumat yang boleh dipercayai’ atau ‘syak wasangka yang munasabah’ untuk melakukan penangkapan pada setiap masa yang perlu.

“Berdasarkan laporan polis pengadu, saya tidak melihat apa-apa bahan yang mewajarkan penangkapan terhadap Khairuddin atas kesalahan di bawah Seksyen 124C, iaitu berkaitan ‘aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen’ atau melakukan apa-apa tindakan,” kata hakim itu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Krisis Timur Tengah perlihatkan dunia tak lagi boleh bergantung kepada bahan api fosil – PM

MASA hadapan sektor tenaga global menuntut anjakan pemikiran dan keberanian untuk meneroka penyelesaian baharu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim...

More Articles Like This