PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Noor Azman Ibrahim sebagai Setiausaha Agung badan induk itu yang baharu.

Pelantikan Noor Azman itu berkuat kuasa 1 September depan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mohd. Saifuddin Abu Bakar yang meletakkan jawatan, baru-baru ini.

FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Noor Azman, 55, ketika ini bertugas sebagai Koordinator Presiden FAM sejak tahun 2018 apabila Datuk Hamidin Mohd. Amin dipilih sebagai Presiden.

Menurut FAM, Noor Azman pernah dipilih sebagai Naib Presiden MUSA pada tahun 2012.

Katanya, beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Agung MUSA selama tiga tahun dari 2015 hingga 2018.

“Pada pemilihan MUSA bagi penggal 2020-2023, Noor Azman sekali lagi telah dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden MUSA.

Baca artikel berkaitan: FAM, Brad Maloney setuju lepaskan jawatan B-23

“Selain pengalaman luas bersama MUSA dan tugasannya selaku Koordinator Presiden FAM, beliau juga pernah terlibat dengan beberapa jawatankuasa tetap FAM antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa Media FAM (2010-2013); Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM (2014-2018) serta Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM (2018-2019),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, FAM memberitahu, Noor Azman juga pernah menjadi pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada tahun 2013.

Selain itu, beliau juga merupakan penolong pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada 2014 serta penolong pengurus pasukan futsal kebangsaan dari 2014 hingga 2017.

Selasa lalu, FAM mengesahkan peletakan jawatan Mohd. Saifuddin selepas beliau mahu menumpukan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.

Mohd. Saifuddin, 61, yang sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM bagi menggantikan Stuart Ramalingam berkuat kuasa pada 1 September 2021 akan meneruskan baki khidmatnya sehingga 31 Ogos ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram