SERING tampil bersama pelawak Shuib di platform media sosial, aktres Zara Zya menyangkal dakwaan dia sengaja berbuat demikian demi ‘memancing’ perhatian netizen untuk mempromosikan perniagaannya.
Sebaliknya, ujar pelakon Honey-Moon itu lagi, dia hanya memenuhi permintaan serta keinginan peminat.
“Saya muat naik gambar sendiri bersiap cantik-cantik tetapi hanya dapat beberapa sahaja tanda suka sedangkan saya miliki jutaan pengikut di Instagram.
“Ia berbeza pula apabila saya berkongsi video atau foto yang mempunyai cerita, pengikut saya akan melihat dan akan meninggalkan komen.
“Sebab mereka (peminat) sendiri jugalah yang pernah beritahu, kalau perkongsian berkenaan tiada unsur penceritaan yang menarik, mereka tidak akan tengok,” katanya kepada URTV.
Zara berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran produk minuman Bubble Bee by Zara Zya di Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin,36, seakan sudah lali dengan usikan ramai pihak yang mahu melihat hubungan baiknya bersama Shuib itu berakhir di jenjang pelamin.
Walau bagaimanapun, Zara tidak pernah menyimpan perasaan terhadap pelawak itu malah menganggap Shuib sebagai seorang rakan yang sering berkongsi ilmu perniagaan.
“Dia seorang yang sangat baik dan sering memberi sokongan kepada rakan artis lain.
“Ini bukanlah kerjasama pertama antara kami sebab sebelum ini pernah juga bekerja dengan Shuib…tapi dululah sebab perkara itu sudah lama berlalu,” ujarnya.
Sedar usianya semakin meningkat dan melihatkan ramai rakan artis lain sudah berumah tangga serta membina keluarga sendiri, Zara sejujurnya tidak pernah membebankan dirinya untuk memikirkan bilakah dia akan mengakhiri zaman bujang.
“Saya tahu ramai rakan artis yang seusia saya sudah berkahwin. Sudah tentu tumpuan seterusnya akan ke arah saya sebab mereka (peminat) ternanti-nanti siapa jodoh saya.
“Mungkin disebabkan faktor umur juga membuatkan mereka tertunggu bila saya akan berkahwin. Saya harap mereka di luar sana mendoakan yang terbaik untuk diri saya.
“Saya tahu orang luar ingin tahu saya dengan siapa (bercinta). Malah, kalau saya bersama dengan pelakon lelaki lain, mereka terus cakap kami ada hubungan istimewa.
“Saya tak kisah dan tak mahu bebankan diri sebab pada saya ini dikira bermusim. Ada juga peminat yang saling berlawan antara satu sama lain untuk tentukan siapa pasangan terbaik untuk saya,” luahnya.
Mengulas lanjut tentang perniagaan Bubble Bee yang diusahakan, jelas Zara, dia sememangnya meminati bisnes yang melibatkan makanan dan minuman.
“Sebelum ini saya ada perniagaan sendiri yang 100 peratus diuruskan saya sendiri.
“Namun dengan Bubble Bee, saya tidak perlu risau sebab kami ada pasukan sendiri yang akan sama-sama mengurus serta membuat pemasaran,” kongsinya.
Untuk rekod, Zara pernah bertunang bersama pelakon Hafreez Adam pada 12 Oktober 2019 namun ikatan itu putus sebulan kemudian.
Zara juga pernah digosipkan bercinta dengan aktor Azlee Khairi dan jurumekap Datuk Alha Alfa.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

