PELAKON Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 37, mengesahkan Ira Kazar telah tampil memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada minggu lalu berhubung dakwaan menganggu rumah tangganya dengan pengarah, Syamsul Yusof.
Menurut Sarah, dia bagaimanapun tidak dapat memperincikan tarikh sebenar keterangan berkenan kerana enggan mengganggu siasatan.
“Apa yang boleh saya beritahu, dia sudah pun tampil beri keterangan dan sekarang pegawai penyiasat sedang jalankan siasatan.
“Siasatan juga mengambil masa dan Insya-Allah selepas selesai saya akan bertindak ke peringkat seterusnya.
“Ada dua aduan dibuat iaitu satu di mahkamah syariah untuk dakwaan orang ketiga manakala di mahkamah sivil untuk dakwaan melakukan gangguan,”katanya kepada URTV.
Sarah berkata demikian ketika ditemui di sidang media teater Maduku Terpaling Kalut yang diadakan di ibu kota, hari ini.
Tambah Sarah lagi, dia bersyukur dan lega apabila kes tersebut sudah ‘bergerak’ dan berharap kemenangan akan berpihak kepadanya.
“Saya buat ini semua untuk anak-anak dan diri sendiri. Ia memang satu proses yang panjang tetapi Alhamdulillah, ada progres.
“Saya tak kisah menunggu asalkan ada pergerakan tentang siasatan ini. Nampak usaha keras saya berjalan,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Sarah lagi, pihak ketiga tersebut telah diberi arahan injuksi agar tidak mengganggu dan mendekati dirinya dan keluarga.
“Pihak di sebelah sana tidak boleh berkomunikasi langsung dengan saya termasuklah mendekati keluarga saya.
“Sekarang saya akui hidup saya lebih aman,” ujarnya.
Minggu lalu, Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail mengesahkan Ira Kazar hadir memberi keterangan berhubung gangguan orang ketiga dalam rumah tangga membabitkan Sarah dan suaminya Syamsul Yusof.
Ira disiasat berdasarkan Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

