Mangsa, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin maut di lokasi kejadian. GAMBAR: Jabatan Imigresen Malaysia.

Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) maut manakala rakan setugasnya mengalami patah kaki selepas terbabit dalam kemalangan di KM83.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Gurun, Alor Setar pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, manakala mangsa yang cedera merupakan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Zaili Nizam Muhammad, 43.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata dalam kejadian yang berlaku pada 9.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang bertugas di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang masing-masing menunggang motosikal jenis Kawasaki KLE650-C.

“Kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Selatan menghala ke Utara, sampai di lokasi kejadian sebuah kereta yang bergerak dari arah sama telah melanggar bahagian belakang motosikal yang ditunggang Muhammad Nizam menyebabkan motosikal itu hilang kawalan dan terbabas ke lorong kecemasan.

“Dalam masa yang sama motosikal yang ditunggang rakannya, Zaili Nizam yang berada di lorong kecemasan tidak sempat mengelak dan terlanggar motosikal Muhammad Nizam yang telah terjatuh di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baca artikel berkaitan : Pegawai polis maut dalam perjalanan ke balai

Katanya, Muhammad Nizam disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala Zaili Nizam telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

Katanya, polis sedang mengesan kereta yang terbabit dalam kejadian itu yang pemandunya dipercayai melarikan diri dan meminta pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram