Suasana Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) UtusanTV kembali melaksanakan undi bagi menilai tahap sokongan rakyat kepada individu atau parti.

Bermula Ahad lalu bagi tempoh selama seminggu, UtusanTV melaksanakan undian berhubung tahap sokongan kepada parti-parti politik dengan soalan Gabungan Parti Manakah Pilihan Anda?

Setakat pukul 8 pagi ini,daripada 19,726 undi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersaing hebat dengan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mendapat 7,094 undi (36 peratus) manakala PN yang diterajui bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat 6,531 undi (33 peratus).

Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan ketiga dengan memperoleh 4,475 undi (23 peratus) manakala Gerakan Tanah Air – gabungan yang dibentuk Tun Dr.Mahathir Mohamad hanya mendapat 1,072 undi.

Perolehan undi oleh PN menarik perhatian memandangkan sebelum ini gabungan itu dikatakan tidak akan mampu bersaing dengan gabungan besar lain seperti BN dan PH.

Malah ramai sebelum ini meramalkan pertembungan PRU-15 bakal menyaksikan pertarungan antara BN dan PH. Namun begitu kekalutan politik di dalam BN khususnya melibatkan UMNO termutama dalam kes-kes mahkamah yang dihadapi oleh pemimpin memungkinkan populariti parti itu merosot.

Bagaimanapun BN tetap dilihat antara parti yang akan memenangi  lebih banyak kerusi biarpun mungkin tidak dapat membentuk kerajaan secara bersendirian. Namun begitu peluang tersebut akan terjejas jika parti tersebut seperti mana kata penganalisis-penganalisis politik masih bergantung kepada pemimpin bermasalah untuk menerajui parti berkenaan termasuk turun ke gelanggang PRU-15.

Tahap sokongan kepada BN juga boleh terjejas jika segelintir parti itu terus menyerang institusi kehakiman hanya disebabkan ada pemimpinnya didapati bersalah oleh mahkamah.

PN pula dilihat mampu memberi saingan sengit berikutan kepemimpinan Muhyiddin yang dianggap bersih dan berintegriti. Bagaimanapun apa yang menjadi cabaran kepada gabungan itu ialah mencari calon-calon yang boleh menarik perhatian pengundi khususnya dalam berhadapan dengan calon daripada UMNO.

Kehadiran Pas dianggap boleh menjadi tarikan kepada PN, apatah lagi Pas dikatakan sudah memiliki kekuatan tersendiri di sesetengah negeri dan di peringkat akar umbi. Bagaimanapun tindak tanduk Pas yang dilihat mahu ‘bermain banyak kolam’ boleh menyebabkan pengundi atas pagar menolak parti tersebut.

PH pula cuba menguar-uarkan atau menyebarkan sentimen mereka menjadi mangsa ‘Langkah Sheraton’. Namun begitu setakat ini pakatan tersebut tidak menampakkan apa-apa kelebihan yang membolehkan mereka menjadi pilihan utama rakyat. Orang Melayu masih lagi teragak-agak untuk menyokong pakatan tersebut apabila DAP masih menjadi anggotanya.

Apapun ini hanyalah analisis awal. Perjalanan menuju ke gelanggang PRU-15 masih jauh walaupun tidak memakan tempoh yang panjang. Kedudukan parti atau individu melalui undian UtusanTV boleh berubah berdasarkan perkembangan semasa.

Setiap undian ini akan berlangsung selama seminggu sebelum diganti dengan undian yang lain.

Bagi memastikan ketelusan undian, pengunjung hanya boleh mengundi sekali sahaja untuk setiap alamat internet protokol (IP).

Semasa tempoh undian ini, pasukan laman web UtusanTV juga memantau dengan dekat bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penggunaan robot. Pengundian menggunakan WP-Polls (Undian WordPress), perisian yang dikenali sebagai mempunyai peraturan ketat.