BANK Negara Malaysia (BNM) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), hari ini membuat keputusan menaikkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.
Keputusan itu merupakan peningkatan kali ketiga berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR pada Mei dan Julai lalu.
Susulan peningkatan tersebut, kadar siling dan lantai koridor OPR turut meningkat masing-masing kepada 2.75 dan 2.25 peratus.
“Ekonomi global terus berkembang meskipun pada kadar sederhana, disebabkan oleh tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.
“Bagaimanapun, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa,” kata BNM dalam satu kenyataan pada akhir mesyuarat MPC selama dua hari yang bermula semalam.
Pada Julai lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, keputusan MPC BNM menaikkan OPR yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan adalah berdasarkan penilaian bank pusat itu.
Beliau memaklumkan, berdasarkan undang-undang, kerajaan tidak boleh menyelaras sebarang kenaikan dasar monetari kerana BNM adalah sebuah badan bebas.

