KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDNHEP) Terengganu merampas sejumlah pakaian dan beg tangan tiruan bernilai RM68,000, dalam tiga serbuan berasingan, semalam.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan secara serentak pada 2 petang itu, termasuk di dua stor barangan di Kuala Terengganu dan satu di Kuala Berang susulan laporan oleh pemilik cap dagangan berdaftar.

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berusia 30-an, turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Operasi dijalankan oleh penguatkuasa selepas menerima laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar, yang mengesyaki barangan aktif diniagakan di media sosial adalah tiruan.

“Hasil serbuan mendapati sejumlah 3,461 barangan terdiri daripada pakaian dan beg tangan berjenama (tiruan) pelbagai saiz, disimpan di dalam stor berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Baca lagi: Harga siling ayam standard kekal – KPDNHEP

Saharuddin berkata, kesemua barangan tersebut disita dan disimpan di KPDNHEP Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

Beliau berkata, KPDNHEP memandang serius kes seumpama itu bagi melindungi hak pemilik cap dagang dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik sesetengah peniaga, yang cuba mengaut keuntungan mudah melalui penjualan barangan tiruan.

“Berhati-hati membeli barangan berjenama terutama dalam talian, kerana sudah ramai yang tertipu dengan helah peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Saya juga minta supaya orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk salurkan melalui portal [email protected]kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDNHEP atau terus WhatsApp ke nombor 019-2794317 atau 019-8488000,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram