hanya lelaki berhak poligami

Bagi seseorang yang ingin berpoligami, mereka perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu dan bukan sekadar bersandar pada emosi semata-mata. Jika tiada ilmu yang mengiringi, maka akan ada banyak mudaratnya. Malah jika tiada ilmu, bagaimana seseorang itu hendak meneruskan tujuannya?

Ramai juga yang mengambil keputusan untuk berpoligami secara senyap-senyap dan rahsia sedangkan mereka tidak menyedari bahawa tindakannya itu hanya mengundang masalah di kemudian hari.

Jika kita bertindak mengikut emosi, maka tiada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, kita haruslah menambah dan memperbaiki ilmu yang kita ada. Ilmu juga bukan tertumpu pada suami sahaja, malah kepada isteri dan anak-anak supaya sifat skeptisisme tidak menjalar. Malah suami sebagai ketua keluarga perlu memainkan peranan yang penting di dalam melaksanakan poligami sebagaimana yang diajar oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Ilmu itu datangnya daripada Allah Taala. Kita wajib mencari ilmu jika kita ingin berpoligami. Berjayanya suami menangani keluarga poligami bukanlah sekadar bergantung pada kemampuannya dalam memberi nafkah seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan juga kenderaan.

Ataupun yang sering diagungkan tentang kemampuan dari sudut batin seperti kasih sayang, perhatian dan nafkah batin. Akan tetapi perkara utama yang perlu kita ambil berat adalah kemampuan suami dalam mendidik keluarganya untuk mendapatkan ilmu yang tepat dan memastikan ahli keluarga mengamalkannya.

Di saat diijabkabulkan, bermulalah amanah sebagai suami dan ayah yang harus dilaksanakan dan akan di pertanggungjawabkan di akhirat nanti .

Mengapa Lelaki?

Allah telah membenarkan poligami kepada lelaki dan bukannya wanita. Mengapa Allah memilih lelaki? Ujar Zaidul, hakikatnya hanya Allah Taala sahaja yang mengetahuinya tetapi jika difikirkan secara logik, lelaki itu qawwam yang bermaksud pemimpin.

Firman Allah, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (Surah al-Nisa’ : 34)

Bergelar seorang lelaki bukannya mudah kerana mereka memikul tanggungjawab yang besar. Walaupun tidak berpoligami sekalipun, lelaki ini sudah memikul tanggungjawab yang bukan sahaja untuk keluarganya sahaja. Selain Allah dan Rasul, lelaki bertanggungjawab kepada emak dan ayah, isteri dan anak-anak, datuk dan nenek serta sehinggalah sejauh mana dia boleh menjadi wali.

Semuanya kembali kepada ilmu. Jika suami sahaja yang berilmu tetapi isteri tiada, maka suami perlu mengajar isterinya supaya memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing. Bila mana isteri sendiri tidak memahami tanggungjawabnya, maka tidak mustahil jika dia mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak sehingga memporak-perandakan keluarga. Perkara sebeginilah yang kita mahu elakkan.

Jadi seorang isteri perlulah taat kepada suami. Bila mana suami menyatakan hasrat untuk berkahwin lain, seorang isteri tidak perlu mempersoalkan keburukan yang dia ada jika dia berilmu. Jika isteri bertanya keburukan, maka suami akan nampak keburukan sahaja malah ia mungkin akan menyemarakkan lagi niatnya untuk berkahwin lain.

Sebaliknya tanyalah apa kebaikan yang sama-sama mereka dapat dan berbincanglah tanpa bersandarkan emosi. Bagi wanita yang faham akan konsep poligami, mereka harus akur dan berserah pada qada dan qadar. Tetapi jika suami atau isteri tidak menemui jawapan, mintalah petunjuk daripada Allah Taala.

Wanita sebenarnya mudah untuk mendapat pahala. Berbuat baik dan taat kepada suami pun sudah dijanjikan sebagai ahli syurga. Begitulah maksud tersiratnya jika seorang isteri membenarkan suaminya berkahwin lain, dia sudah pun dijanjikan sebagai ahli syurga,” jelas Zaidul Amin.  

_________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare