poligami pesanan buat suami

Pasti ramai kaum lelaki yang tersenyum meleret tatkala berbicara tentang poligami namun hakikatnya hanya Allah sahaja Maha Mengetahui hikmah dan rahsia di sebalik poligami dalam meningkatkan martabat Muslimah.

Sebelum membuat sebarang keputusan untuk berpoligami suami sepatutnya berkira bicara sama ada beliau mampu menggalas tanggungjawab yang baru tanpa menjejaskan yang sedia ada.

Bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi juga masa dan perhatian kepada isteri-isteri juga anak-anaknya. Dalam keghairahan menyambut isteri baru di dalam keluarga, adakah si ayah memikirkan perkembangan emosi dan psikologi anak-anak? Adakah mereka gembira atau kecewa kerana si ayah kini perlu membahagikan kasih sayang?

Di dalam al-Quran, poligami dijelaskan dalam Surah Al-Nisa’,: 3,

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adik )di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”

Namun al-Quran juga memberi peringatan dalam Surah Al-Nisa’,: 129,

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Jelas Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Sunnah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Zaidul Amin Suffian Ahmad, amat penting untuk mengambil kira hak anak-anak jika ibu bapanya terlibat di dalam poligami.

Perkara paling mudah adalah menjelaskan kepada anak-anak ‘tetamu’ yang akan menjadi sebahagian dari keluarga besarnya mengikut tahap pemikiran mereka. Jika anak-anak masih kecil, kefahaman mereka tidak sepatutnya berada pada tahap yang sama dengan kita.

Mana mungkin kita dapat menjelaskan secara panjang lebar sedangkan mereka hanya faham perkara yang sangat asas. Jadi cukuplah sekadar memberitahunya niat kita dan jangan pula menambah kata-kata hasutan.

Perkahwinan adalah amanah dan tanggungjawab sesama pasangan

Tambah Zaidul Amin juga, melalui pendekatan yang digunakan Hamka, beliau lebih mengutamakan monogami daripada poligami dalam perkahwinan. Ini kerana menurut Hamka, apabila suami beristeri lebih dari satu kemungkinan berlaku ketidakadilan sama ada terhadap isteri-isteri atau terhadap anak-anak yang lahir dari setiap isteri.

Lazimnya ia terjadi apabila melibatkan soal kewangan yang kurang kukuh untuk menampung keluarga yang besar. Ada di kalangan suami yang membuat keputusan berpoligami dengan wanita berkerjaya kerana ingin mengambil jalan singkat dalam membahagikan beban kos saraan hidup.

Jadi tepuk dada tanya iman, andai masih ada kekurangan yang perlu penambahbaikan, lupakan sahaja untuk berpoligami jika ia memberi kemudaratan kepada diri dan keluarga. Disebabkan oleh itulah tegas Zaidul Amin lagi, perkara paling penting sebelum berpoligami adalah memahami dulu maksud sebenar poligami.

Fahami sedalamnya

Apa yang menjadi isu adalah ramai di kalangan kita yang masih tidak memahami konsep poligami menurut al-Quran. Lebih malang apabila ada yang mendahulukan pandangan peribadi daripada al-Quran.

Selalunya kita akan memberi maksud berdasarkan apa yang kita faham dan bukannya apa yang terkandung dalam al-Quran. Ujar Zaidul Amin, konsep poligami dalam al-Quran lebih melihat kepada penyelesaian yang menyeluruh di mana ia melibatkan penyelesaian isu umat secara total berbanding masalah individu.

Sesungguhnya manusia adalah khalifah di atas muka bumi ini. Amanah ini amat berat di mana manusia perlu rujuk kepada al-Quran dan sunah sebagai paksi di dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Apabila disebut tentang adil, ramai di antara kita yang menilainya dalam kiraan matematik. Adakah sebetulnya adil sebegitu? Jika kita tengok adil di dalam sudut pandangan Islam, ia memberi maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Contohnya kita lihat kepada anak-anak yang berbeza jantina. Dari segi pakaian, keperluan anak perempuan adalah lebih berbanding dengan anak lelaki kerana perbezaan batasan aurat.

Begitu juga dengan kasih sayang. Ramai yang mengatakan tidak mahu berpoligami kerana tidak mahu berkongsi kasih sayang seorang suami atau seorang ayah. Di dalam ajaran Islam kita digalakkan untuk menyayangi semua orang. Kasih sayang itu bukan hanya milik kita kerana kasih sayang mutlak adalah milik Allah,” ujar Zaidul Amin.

Namun setiap orang ada persepsi dan pendirian mereka sendiri. Mungkin di dalam perkahwinan, berkongsi kasih sayang adalah sesuatu yang berat untuk ditelan. Menjadi fitrah semula jadi seorang wanita untuk terus setia bersama seorang suami dan itu juga harapannya untuk suami setia pada dirinya seorang. Tetapi kita tidak boleh menolak kemungkinan ada wanita yang redha untuk berkongsi suami di atas sebabnya tersendiri.

Bagi wanita Melayu Muslim, mendengar perkataan poligami bagaikan isu yang amat sensitif tidak kiralah sama ada menjadi isteri pertama, kedua mahupun ketiga dan keempat. Persepsi yang telah direka oleh masyarakat tentang perkahwinan yang melibatkan ramai isteri membuatkan hati lebih bersifat skeptis atau ragu-ragu.  Zaidul Amin berpendapat masyarakat berpersepsi sedemikian kerana masyarakat melihat apa yang telah dipraktikkan oleh mereka yang berpoligami.

Anak-anak sering menjadi mangsa kepada hubungan ibu bapa yang tidak mesra

Sudah jelas poligami disebut dalam al-Quran. Namun yang menjadi isu apabila masyarakat kita mula mencipta sifat-sifat skeptisisme dalam poligami ini dan akhirnya mencetuskan sesuatu yang negatif. Ia seolah-olah kita menafikan hukum al-Quran.

Jadi tidak mustahillah jika kita sering mendengar pengabaian anak-anak yang masih kecil dalam keluarga yang berpoligami. Sebenarnya itulah sifat skeptisisme yang berjaya direka oleh masyarakat kita. Sebagai ketua keluarga, jika si ayah melaksanakan hukum-hakam poligami sebagaimana yang dituntut oleh syarak maka pengabaian anak-anak tidak akan berlaku.

Pada pendapat saya jika ingin meneruskan niat berpoligami, lebih baik berkahwin semasa anak-anak masih kecil kerana pada tahap umur mereka itu mereka masih tidak tahu istilah cemburu atau iri hati.

Bagi mereka, kehadiran adik-beradik daripada emak lain adalah kawan mereka. Berlainan jika bapa yang berkahwin semasa anak-anak sudah pun membesar dan sudah memahami erti hidup kerana di kala itu anak-anak sudah memahami erti cemburu,” cerita Zaidul Amin.

Akan tetapi sedangkan lidah lagi tergigit apatah lagi dalam rumah tangga yang berpoligami. Begitulah resamnya di dalam alam perkahwinan pasti ada perselisihan pendapat dan pergaduhan kecil antara suami dan isteri. Jadi bagaimana dengan emosi anak-anak? Tegas Zaidul, perkara utama yang harus dilakukan adalah perbincangan awal dengan anak-anak sebelum mengambil keputusan untuk berpoligami.

Terus terang adalah kunci utama. Selain isteri, pandangan dan pengetahuan anak-anak juga harus diambil kira sebelum membuat keputusan untuk berpoligami. Berterus teranglah dengan mereka tentang kebaikan dan keburukan sepanjang hidup berpoligami. Jika boleh jangan dengar cakap orang kerana dari situlah tercetusnya sifat skeptisisme yang mana boleh merosakkan emosi dan psikologi anak-anak,. Wallahu a’lam

________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare