Tangkap layar rakaman memaparkan aksi mangsa dipukul dan dilempar meja oleh ibu kandungnya.

Seorang wanita ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai mendera anak lelakinya berusia lapan tahun, Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud, berkata wanita berusia 36 tahun itu ditahan di rumahnya di Kok Lanas, di sini, semalam, susulan laporan polis oleh bekas suaminya pada 10 Mac lalu.

Beliau berkata, pada Mac lalu, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak itu telah dihubungi teman lelaki bekas isterinya, memaklumkan bahawa anak lelaki pengadu (mangsa) telah dipukul oleh ibunya.

Difahamkan bapa mangsa telah menerima satu video daripada teman lelaki bekas isterinya yang memaparkan mangsa dipukul termasuk dilempar meja oleh ibu kandungnya.

Selepas membuat laporan polis namun pada tempoh yang sama pengadu cuba menyelesaikan perkara itu dengan bekas isterinya, katanya.

Baca artikel berkaitan : Dera kanak-kanak: Ibu saudara, suami direman

“Sebelum ini pengadu bersama bekas isterinya dan dua anak mereka tinggal di Tampin, Negeri Sembilan, namun selepas bercerai pada 2020, suspek dan mangsa tinggal di Kota Bharu, manakala seorang anak perempuan mereka tinggal bersama pengadu.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan menerima rawatan sebagai pesakit luar dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram