Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. GAMBAR: Abd Razak Aid

TAMAN Perindustrian Halal Malaysia (Halal Malaysia Industrial Parks), iaitu sebuah inisiatif pertumbuhan industri halal Malaysia, telah berjaya menarik lebih daripada RM16 bilion pelaburan setakat ini, dengan RM9.5 bilion atau 59 peratus daripada  jumlah ini adalah pelaburan langsung asing (FDI).

Menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-111, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sejumlah 295 syarikat kini beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh Malaysia, termasuk 42 syarikat multinasional.

Beliau berkata Taman Perindustrian Halal Malaysia merupakan hab halal dunia terbesar meliputi kawasan seluas 80,937.13 hektar di 14 Taman Halal strategik yang telah menerima status Halal Malaysia (HALMAS) daripada Halal Development Corporation (HDC). 

Menurut menteri kewangan, Taman Halal ini menawarkan fasiliti infrastruktur yang bertaraf dunia, tenaga kerja berkemahiran, kemudahan menjalankan perniagaan, akses mendapatkan ramuan halal, serta insentif menarik daripada kerajaan yang sentiasa menggalakkan pembangunan halal.  

“Malaysia mengekalkan kedudukan perolehan produk halal tertinggi berbanding 81 negara lain, berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global yang terkandung dalam laporan ‘State of the Global Islamic Economy 2022’. 

“Penilaian ini telah dibuat berlandaskan inisiatif digitalisasi ekonomi, pembangunan infrastruktur halal dan peningkatan fokus kerajaan terhadap sekuriti makanan dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Malaysia tidak alami krisis ekonomi walaupun nilai ringgit menurun – Tengku Zafrul

Beliau berkata Petunjuk Ekonomi Islam Global turut menjangkakan bahawa pasaran halal global akan berkembang daripada RM8.8 trilion (US$2.09 trilion) seperti yang dilaporkan pada tahun 2021 kepada hampir RM14 trilion (US$3.27 trilion) menjelang 2028. 

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 pula, Tengku Zafrul berkata industri halal dijangka menyumbang 8.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menjana RM56 bilion hasil eksport pada 2025 berbanding RM31 bilion pada 2020.

“Inisiatif pembangunan halal dalam kalangan perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) juga tidak dilupakan. 

“Di bawah Bajet 2022, dalam melahirkan lebih ramai pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa, RM25 juta diperuntukkan kepada HDC untuk melaksanakan pelbagai program termasuk Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM20.955 bilion kepada 357,960 majikan setakat ini melalui Program Subsidi Upah (PSU) bagi mengekalkan penggajian 2,960,231 pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram