KESUMA sokong penuh siasatan SPRM program Daya Kerjaya 2.0

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) menyokong sepenuhnya siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan ketidakaturan melibatkan tuntutan di bawah program Daya Kerjaya 2.0.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan menegaskan, pihaknya komited untuk memastikan semua program bantuan kerajaan diuruskan mengikut standard integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang tertinggi.

Menurut Ramanan, ketidakaturan yang disyaki berhubung Daya Kerjaya 2.0 itu pada mulanya dikesan melalui mekanisme pemantauan dalaman dan pencegahan penipuan Pertubhuan Keselamatan Sosial (Perkeso) sendiri.

Beliau berkata, Bahagian Anti Penipuan, Etika dan Integriti (AFEI) Perkeso telah mengenal pasti corak mencurigakan dan kemungkinan berlaku ketidakaturan pada penghujung tahun 2024 lagi.

Susulan pengesanan awal itu, Ramanan berkata, AFEI telah memulakan proses pengumpulan risikan, pemantauan dan siasatan menyeluruh bagi mengesahkan dapatan serta menentukan tahap penyalahgunaan yang disyaki melibatkan tuntutan di bawah program Daya Kerjaya 2.0.

“Siasatan diteruskan sepanjang tahun 2025, di mana pelbagai bukti dikumpulkan, rekod diperiksa secara terperinci dan modus operandi salah laku yang disyaki berjaya dikenal pasti.

“Hasil siasatan dan syor yang dikemukakan oleh AFEI kemudiannya dibentangkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso.

“Setelah meneliti dapatan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso mengarahkan supaya perkara itu dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut sekali gus mencerminkan komitmen teguh Perkeso terhadap ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ramanan memberitahu, Perkeso telah merujuk dan menyerahkan kes berkenaan secara rasmi kepada SPRM Perak pada Ogos 2025.

Selepas itu, kata beliau, Perkeso bekerjasama rapat dengan SPRM melalui proses siasatan bersama dan memberikan kerjasama penuh pada setiap peringkat siasatan.

Ramanan memaklumkan, siasatan tersebut kemudian telah dinaik taraf dan dikendalikan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

“Sepanjang proses itu, Perkeso telah menyerahkan semua dokumen, rekod, maklumat dan bukti berkaitan yang diperlukan pihak berkuasa bagi memudahkan siasatan serta tindakan penguatkuasaan lanjut.

“KESUMA juga ingin menegaskan bahawa kes ini membuktikan mekanisme tadbir urus, pematuhan dan pencegahan penipuan Perkeso berfungsi dengan berkesan.

“Hakikat bahawa perkara ini dikesan melalui kawalan dalaman Perkeso, disiasat secara menyeluruh oleh AFEI dan seterusnya dirujuk kepada SPRM mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi organisasi tersebut dalam melindungi dana awam serta memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak menerimanya,” katanya.

Pada masa sama, Ramanan menegaskan bahawa Program Daya Kerjaya 2.0 diperkenalkan dengan matlamat murni untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

Jelas beliau, sebarang penyalahgunaan insentif kerajaan yang diwujudkan bagi membantu rakyat Malaysia merupakan perkara serius yang boleh menjejaskan kepercayaan awam serta menafikan hak penerima yang benar-benar layak mendapat manfaat tersebut.

“Justeru, kementerian menyokong sepenuhnya tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau entiti yang didapati menyalahgunakan dana awam atau mengemukakan tuntutan palsu selaras dengan peruntukan undang-undang.

“KESUMA melalui Perkeso akan terus komited memperkukuh rangka kerja tadbir urus, menambah baik proses pengesahan serta meningkatkan mekanisme pemantauan bagi mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan dalam semua program insentif berkaitan pekerjaan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Tiga lelaki warga asing ditahan kes curi dan dadah

TIGA lelaki warga asing ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan Strike Team Balai Polis Tawau selepas dipercayai terbabit...

More Articles Like This