Sambutan Hari Malaysia 2022 yang diadakan di Banda Hilir, Melaka, malam tadi berlangsung meriah. GAMBAR: Jabatan Penerangan

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka sebagai berjaya dan mengagumkan.

Beliau berkata acara yang diatur berjalan lancar dan meriah selain berjaya menterjemahkan semangat Keluarga Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa lnduk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 itu berkata pemilihan Melaka sebagai tuan rumah sambutan amat tepat dengan statusnya sebagai negeri pelancongan utama negara.

“Saya rasa persembahan malam ini dalam konteks sambutan yang boleh kita gunakan adalah mengagumkan. 

“Persembahan yang baik dalam memberi refleksi kepelbagaian kaum di Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas tamat sambutan itu malam tadi.

Baca artikel berkaitan: Hari Malaysia diadakan secara bergilir di setiap negeri – Annuar

Beliau berkata idea tema pemakaian busana era 60-an dan etnik juga dilihat berjaya apabila rata-rata pengunjung memakainya malam ini. 

Katanya sambutan yang diterima juga sangat luar biasa dengan kehadiran pengunjung melepasi sasaran awal 20,000 orang dan skrin gergasi yang diletak di sekitar lokasi sambutan memberi peluang kepada semua pengunjung untuk sama-sama berhibur sambil menghayati sambutan gilang-gemilang itu.

Annuar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua peserta, petugas dan pihak pengelola acara atas kejayaan sambutan yang meriah itu.

“Semua terhibur, tetamu kenamaan dan penonton. Terima kasih kepada pemuzik dan artis yang terlibat serta peserta yang menyertai perarakan. Semuanya berjalan dengan baik, tidak ada sebarang rintangan yang besar malah cuaca malam ini juga baik.

“Ia akan menjadi kenangan kepada negara kita dari Perlis hingga ke Sabah,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram