IKATAN Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) menzahirkan rasa takziah yang mendalam atas pemergian Ketua Dewan Pers Indonesia Prof Azyumardi Azra, yang meninggal dunia di Hospital Serdang hari ini.
Allahyarham ke Kuala Lumpur pada Jumaat lepas bagi memenuhi undangan sebagai panel di sebuah program yang dijadualkan berlangsung di Bangi dekat sini semalam.
Cendekiawan berusia 67 itu meninggal dunia pada 12.30 tengah hari tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan pada Jumaat lepas, sebaik tiba dari Indonesia.
Kali terakhir delegasi ISWAMI Malaysia bertemu dan berbincang bersama Dewan Pers, yang diketuai Allahyarham adalah pada 19 Ogos lepas, dalam lawatan Delegasi ISWAMI Malaysia ke Jakarta.

Baca: Ketua Dewan Pers Indonesia meninggal dunia di Hospital Serdang
Allahyarham banyak memberikan gagasan dan pendapat, untuk membantu ISWAMI dan media Malaysia mewujudkan Persatuan Wartawan Malaysia, bagi menjaga kepentingan, integriti dan sebagai platform mengukuhkan hubungan media Malaysia dan Indonesia.
ISWAMI Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada ahli keluarga Prof Azyumardi Azra, dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar dalam hubungan media Malaysia dan Indonesia.- BERNAMA

