UNTUK mereka yang kerap menggunakan media sosial, kadangkala kita akan ternampak akaun-akaun yang kelihatan aneh.

Walaupun mempunyai nama dan gambar tetapi  mereka menunjukkan kelakuan aneh seperti kerap menggunakan satu hashtag atau bercakap topik tertentu setiap hari.

Mungkin pada awal ia kelihatan seperti mereka peminat tegar, namun makin lama, aktiviti mereka seolah-olah dirancang dan akaun mereka terlampau mengkhususkan sesuatu perkara.

Tak kan celik-celik mata, log masuk Twitter, perkara pertama yang dia fikir untuk Tweet ialah sokongan terhadap ahli politik? Twitter sudah lama ada masalah bot – akaun-akaun dibuat oleh artificial intelligence (AI) untuk berkelakuan seperti kita, manusia biasa.

Bot biasanya digunakan untuk menyebarkan berita palsu dan propaganda politik, yang kini dilihat sebagai masalah terbesar dengan Twitter pada masa ini.

Billionair Elon Musk, dalam cubaan untuk membeli Twitter, mendedahkan bahawa hampir 20% daripada 330 juta pengguna mereka ialah bot walaupun fakta ini dinafikan oleh Twitter yang menyatakan hanya 5% sahaja pengguna palsu.

Walaupun 5% sekalipun, ia tetap bermakna terdapat 16.5 juta akaun ‘tipu’ yang wujud dalam rangkaian mereka.

Berjuta akaun ini digunakan oleh ahli politik atau syarikat-syarikat perhubungan awam untuk mempamer imej seseorang supaya ia kelihatan seolah-olah ada penyokong dan pada masa yang sama menyorok tweet-tweet negatif.

Kita tidak boleh menafikan bahawa pendapat kita boleh diubah jika kita membaca pendapat orang lain dalam laman sosial. Kita hidup dalam era di mana pendapat ‘rakyat’ internet mempunyai gravitas besar berbanding duu.

Manusia yang hidup dalam zaman world wide web ini, setengahnya tidak mudah untuk ditipu tetapi kita sering lupa terdapat ramai yang mudah untuk mempercayai bahan dalam laman media sosial.

Kadang-kadang, akaun-akaun popular di Twitter selalu menerima komen berulang-ulang dan ada juga yang membalas dengan pautan-pautan untuk ‘mendapatkan semula akaun yang dicuri’.

Ya, kita boleh sahaja tidak endahkan mereka dan sambung membuang masa dalam aplikasi burung itu tetapi untuk orang lain, ia menimbulkan soal privasi.

Twitter bagaimanapun tidak menafikan ia merupakan salah satu masalah yang mengganggu pengguna-pengguna platform mereka. Makin hari, masalah ini diletakkan dalam senarai isu-isu yang dilalui laman media sosial.

Susah sangat ke untuk membuang bot-bot ini? Adakah Twitter mendapat keuntungan daripada bot-bot ini? Sudah tentunya tidak.

Twitter menjana sumber pendapat seperti platform-platform lain; melalui iklan. Syarikat-syarikat mempaparkan iklan mereka di timeline dan mempromosikan nama mereka di bahagian trending.

Pakar-pakar berkata Twitter menerima bayaran berdasarkan berapa ramai pengguna yang melihat iklan. Definisi pengguna dalam mata Twitter ialah ‘monetizable daily users’ atau secara kasarnya, “manusia yang mempunyai biji mata” untuk melihat dan membeli sesuatu produk.

Ia tidak dinafikan Twitter mempunyai pengguna yang ramai dan memberikan pencapaian yang banyak kepada iklan-iklan yang dipromosikan tetapi sudah ramai pengguna menyahaktifkan akaun mereka atas sebab bot-bot memberikan pengalaman yang tidak selesa.

Jika kadar pengguna mereka rendah, Twitter akan menerima pembayaran lebih kurang kerana iklan-iklan ini tidak dapat mencapai kuota pelanggan yang diramal oleh syarikat tersebut.

Ramai yang menyatakan ini antara sebab kenapa Twitter enggan mendedahkan jumlah sebenar pengguna palsu mereka kepada Elon Musk.

Laman sosial ini juga mempunyai kesukaran untuk mengenal pasti akaun-akaun bot kerana kepintaran teknologi sekarang yang membuatkan ia susah untuk membezakan pengguna biasa dengan robot.

Pengguna di Youtube juga masalah bot turut membelenggu Youtube Shorts dan juga bahagian komen di video-video yang menerima jumlah penonton banyak.

Ia  mencetuskan lagi  perasan susah hati dalam kalangan pengguna kerana media sosial seperti Twitter dan Youtube – kini dimiliki oleh Google –  sekalipun tidak mampu melindungi platformnya sendiri daripada ancaman yang terhasil daripada evolusi teknologi.

Walaupun kita boleh menyalahkan Twitter sepenuhnya, masalah bot ini sebenarnya berpunca daripada aksi PR dibuat oleh ahli politik dan juga manusia yang terlampau ingin menjaga imej mereka.

Sebagai syarikat yang memberikan kuasa kepada orang untuk menyuarakan pendapat masing-masing, Twitter perlu berhati-hati kepada siapa mereka berikan kuasa tersebut dan menjaga hak yang betul-betul layak menyebarkan suara mereka.

Ramai masih log masuk ke Twitter bukan kerana mereka suka kepada laman itu, tetapi kerana mereka ingin berkongsi minat mereka dengan “manusia yang mempunyai biji mata” lain.

Twitter berjaya membina sebuah platform yang menyatukan pengguna dengan komuniti yang sesuai dengan mereka, jadi sangat rugi kalau masalah seperti bot-bot ini merosakkan kesatuan itu.

Jagalah biji-biji mata kita semua. 

*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM