PLASENTA atau juga dikenali sebagai uri dan tembuni merupakan organ yang menghubungkan ibu dengan janin dalam rahim. Ia berfungsi membekalkan makanan, nutrien dan oksigen kepada janin serta mengeluarkan bahan kumuh daripada janin melalui ibu.

Gumpalan ini memiliki berat sekitar 600 gram dengan diameter antara 16 hingga 18 sentimeter dan mengandungi 200 mililiter darah.

Pernahkah anda mendengar orang memakan tembuni?

Berdasarkan catatan sejarah, budaya memakan plasenta dalam perubatan tradisional Cina telah berlangsung sejak lebih 2,000 tahun dahulu, iaitu lebih lama sebelum kewujudan perubatan moden. Bahkan, sehingga sekarang masih ada yang masih mengamalkannya.

Di sesetengah kawasan di China, wanita yang telah selamat melahirkan anak perempuan akan diberi makan tembuni bayi tersebut. Uri itu akan dibersihkan dan direbus untuk dijadikan sup. Ada juga yang memakannya secara mentah atau dicampurkan ke dalam hidangan khas. Bagi yang tidak lalu untuk menelannya, uri itu akan dikukus kemudian dihiris dan dikeringkan, seterusnya di ekstrak dalam bentuk pil.

Mereka percaya  dengan memakan uri bayinya sendiri dapat membantu untuk menambahkan air susu ibu dan pulih daripada luka bersalin. Mereka yakin uri itu mampu mengecutkan rahim, menambahkan tenaga, mengurangkan depresi dan kemurungan selepas bersalin.

Tembuni dimasak atau dijadikan dalam bentuk pil.

Perubatan tradisional Cina telah lama percaya bahawa uri dapat memulihkan dan meremajakan tubuh seseorang. Qin Shihuang, wanita pertama China yang dilaporkan menyebut uri memiliki manfaat kesihatan sekitar lebih dua ribu tahun yang lalu.

Pada dinasti terakhir China, janda permaisuri Cixi dikhabarkan telah memakan uri untuk menjadikannya awet muda. Sebuah buku perubatan klasik dari Dinasti Ming (1368-1644) turut mengatakan bahawa uri mengandungi nutrien tinggi yang boleh boleh memanjangkan usia seseorang.

Kerana mempercayai perkara itu, pernah dilaporkan sebuah hospital bersalin di wilayah sebelah timur Nanjing memberitahu, sekitar 10 peratus ibu-ibu yang bersalin membawa pulang uri mereka. Malah, penyelidikan pemerintah tempatan yang pernah dijalankan dahulu mendapati ada rumah sakit di selatan wilayah Guangzhou menjual uri dengan harga 20 yuan seketul.

Pada hari ini, budaya makan uri yang dianggap menyihatkan dan untuk kecantikan bukan hanya diamalkan di China, tetapi juga semakin meluas di Barat.

Salah seorang pelakon Hollywood, January Jones pernah mendedahkan dia memakan plasenta bayinya sebagai sebahagian daripada rejimen sihat selepas bersalin. Manakala artis sensasi, Kim Kardashian, juga pernah menyatakan minatnya untuk melakukan perkara serupa selepas melahirkan anak perempuannya.

Tradisi aneh makan tembuni turut berkembang di Barat.

Tradisi aneh ini turut menarik perhatian penyelidik dari Universiti Nevada di Las Vegas, untuk melakukan kajian ke atas 200 orang di kalangan wanita yang mempraktikkan pemakanan uri ini selepas bersalin.

Hasil kajian mendapati 95 peratus daripada mereka melaporkan peningkatan dalam pemulihan dan penyusuan anak. Golongan ini percaya bahawa uri ialah ubat, vitamin, mineral dan hormon sempurna dalam membantu memulihkan ibu selepas melahirkan anak, seterusnya dapat mengelakkan sindrom ‘baby blues’.

Buat masa ini, tiada kajian saintifik yang sahih untuk menyokong dakwaan itu. Kebanyakan ahli perubatan profesional sepakat mengatakan, plasenta tidak memberi apa-apa kebaikan kepada tubuh sekalipun ia dimakan. Adapun keputusan positif selepas memakan organ tersebut mungkin kebanyakannya dipengaruhi oleh kesan plasebo.

Jika ada yang mengatakan tradisi makan uri itu bagus kerana ia turut dipraktikkan oleh haiwan, pendapat itu sebenarnya salah. Haiwan melakukan placentophagy adalah bertujuan untuk ia menghilangkan bukti kelahiran agar tidak menjadi mangsa kepada pemangsa.

Harus diingat bahawa plasenta ialah tisu manusia – sama seperti organ-organ lain pada tubuh badan manusia. Sekiranya ia tidak dijaga dengan baik, sama ada dibekukan atau disimpan pada suhu yang sejuk, pengamalnya bakal dijangkiti bakteria berbahaya dan penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B dan C.

Kerana itu kebanyakan hospital di seluruh dunia menganggap plasenta sebagai sisa buangan perubatan bersama sampah berbahaya lain. Melainkan jika terdapat permintaan para ibu untuk mengambilnya untuk dibawa pulang.

Di Malaysia, untuk orang Islam adalah menjadi kewajipan membawa pulang uri ke rumah selepas selesai proses bersalin. Ia kemudiannya akan dibersihkan sebelum ditanam di dalam tanah. Amalan ini dilakukan adalah sebagai satu cara menghormati tembuni. Ini kerana dalam masyarakat Melayu, uri ‘dihormati’ kerana peranannya dalam menyokong bayi semasa kehamilan.

Para ulama juga ada menyatakan bahawa penanaman tembuni tersebut diqiyaskan seperti mana disunatkan menanam anggota yang terpisah daripada manusia yang hidup seperti kuku, rambut dan sebagainya. Justeru samalah hukumnya berkaitan penanaman tembuni.

Terdapat banyak budaya lain di seluruh dunia yang mempunyai upacara khas bagi menghormati plasenta. Sebagai contoh, orang Maori di New Zealand turut menanam uri sebagai simbol menghormati hubungan manusia dan alam.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram