BILA melalui kawasan sawah atau ladang, pasti kita biasa melihat ‘orang-orang’ iaitu figura seperti manusia yang digunakan untuk menakutkan haiwan.

Catatan sejarah menyatakan, pertanian merupakan ekonomi tertua di dunia. Sejak abad ke-19 lagi, pertanian telah berkembang secara komersial dan menjadi salah satu sumber ekonomi penting di Tanah Melayu.

Padi merupakan tanaman utama ketika itu memandangkan ia adalah makanan asasi masyarakat di rantau ini. Negeri-negeri yang terkenal dalam penanaman padi di Tanah Melayu seperti Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Kedah merupakan negeri yang terkenal sebagai jelapang padi. Menjelang abad ke-18, dataran Perlis dan Seberang Perai turut menjadi kawasan penanaman padi yang utama.

Untuk mencegah hasil tanaman tidak dimakan haiwan, salah satu cara yang diguna pakai adalah penggunaan ‘orang-orang’ (juga disebut orang-orangan).

Orang-orang atau orang Barat menyebutnya Scarecrow, merupakan satu benda tidak bernyawa yang bentuknya mirip seperti manusia, digunakan untuk menakutkan haiwan terutamanya burung pipit dan bangau yang menghampiri sawah atau ladang.

Penggunaan ‘orang-orang’ tidak hanya tertumpu di tanah Melayu sahaja tetapi ia telah digunakan secara meluas di seluruh dunia. Misalnya di Korea, Kanada dan Jepun, merupakan antara negara yang banyak menggunakan orang-orang dalam bidang pertanian mereka bagi tujuan keselamatan tanaman.

Dari mana asalnya penggunaan orang-orang ini? Bagaimana orang zaman dahulu terfikir untuk mencipta orang-orang ini dalam pertanian?

Sebenarnya, tidak diketahui secara tepat dari mana asal usul orang-orang ini. Manusia sebenarnya dibekalkan secara fitrah ilmu kemahiran menguasai alam secara lestari.

Mengikut sebuah buku berjudul Kojiki, yang juga merupakan buku tertua di Jepun, orang-orang di sawah dikenali sebagai Kuebiko. Kemunculannya di negara tersebut dianggap sebagai dewa kerana mampu menjaga sumber makanan utama mereka. Walaupun tidak bernyawa, Kuebiko telah dianggap sebagai satu benda yang mengetahui semua perkara.

Penggunaan ‘orang-orang’ dalam bidang pertanian dikategorikan sebagai kaedah kawalan secara mekanikal. Manusia zaman dahulu menggunakan sistem pengkulturan (cultural practice) – yang tidak menganggu dan menjejaskan alam sekitar.

Sebagai contoh, penggunaan orang-orang dan juga kincir angin. Hal ini dapat dilihat melalui struktur orang-orang itu sendiri yang kebanyakannya diperbuat daripada jerami, kain-kain lama, tin-tin kosong dan sebagainya.

Terdapat juga cerita zaman dahulu yang mengaitkan penggunaan orang-orang ini yang telah dibacakan dengan ayat-ayat atau mantera bagi tujuan tertentu. Jika dahulu, ‘semangat padi’ sememangnya begitu sinonim dikalangan orang-orang kampung yang menghargai nilai sebutir beras.

Kini, penggunaan orang-orang sudah semakin kurang apabila pelbagai teknologi dalam pertanian terhasil. Pertanian moden telah meletak tanda aras sebanyak lima peratus bagi kesan serangan haiwan perosak yang tidak boleh dielakkan.

Lima peratus itu dianggap adalah hak haiwan-haiwan lain seperti tikus, serangga dan sebagainya. Malah, dalam konteks agama Islam sendiri, ia dianggap sebagai satu pahala.

______