SECARA logik, apabila berasa mengantuk dan letih, pasti kita akan menguap. Namun, menguap tidak bererti sepenuhnya kita sedang berasa mengantuk. Malah, jika anda sedar, dengan melihat orang lain menguap juga boleh membuatkan anda terasa hendak menguap.

Selain itu, dengan membaca perkataan ‘menguap’ juga memungkinkan kita hendak menguap. Ada penyelidik menyatakan sebanyak 40 hingga 60 peratus orang yang melihat gambar orang menguap turut akan menguap. Jadi, sejauh manakah kebenaran ini?

Berdasarkan beberapa kajian, menguap berpunca daripada  saluran darah dalam badan manusia yang kekurangan oksigen. Ada juga teori yang menyatakan menguap boleh melaraskan sistem badan manusia.

Secara teknikalnya, menguap adalah keadaan fisiologi yang berlaku secara serentak di mana seseorang mengambil udara dan secara langsung telah meregangkan gegendang telinga, diikuti dengan bernafas.

Bukan sahaja manusia, malah haiwan juga menguap. Sebagai contoh, sekumpulan gorila yang menguap sebenarnya adalah syarat untuk berkomunikasi bagi tujuan melindungi diri sesama mereka. Seperti anjing, menguap dapat menunjukkan gigi taringnya supaya ditakuti musuh.

Berdasarkan hasil kajian beberapa penyelidik mendapati menguap dapat disimpulkan kepada tiga teori utama iaitu fisiologi, evolusi dan juga teori bosan.

Teori fisiologi adalah satu keadaan di mana seseorang yang menguap itu sedang mengambil oksigen yang lebih untuk dibawa ke dalam paru-paru seterusnya dapat menyingkirkan karbon dioksoda. Keadaan ini dapat dibuktikan berdasarkan situasi seperti di bilik mesyuarat, di dalam kelas atau di bilik-bilik tertutup.

Misalnya, apabila sesebuah bilik tertutup dipenuhi dengan orang yang ramai, maka lebih banyak karbon dioksida disingkirkan dan lebih banyak pula oksigen yang diperlukan. Keadaan ini merupakan punca mengapa seseorang itu menguap dan diikuti pula dengan individu yang lain. Faktor cuaca juga dikatakan menjadi penyebab seseorang itu menguap.

Para pengkaji juga mendapati secara fisiologikalnya, menguap adalah satu keadaan bagi mengawal suhu otak seseorang.

Saintis masih lagi mencari alasan kukuh mengapa manusia menguap. Bagaimanapun ada saintis menyatakan menguap adalah satu evolusi. Ia dibuktikan melalui masyarakat zaman purba dahulu yang menguap disebabkan mahu menunjukkan gigi mereka bagi menakutkan musuh.

Teori bosan adalah yang paling popular kerana ia sering dikaitkan dengan menguap. Kita selalu melihat keadaan di mana seseorang yang berasa bosan pasti akan menguap dan ia seringkali dialami oleh para pelajar.

Adakah punca menguap disebabkan situasi melihat orang lain menguap, membaca maklumat tentang menguap atau mendengar perkataan ‘menguap’, ia juga ada kebenarannya.

Secara biologikalnya, penyelidik mendapati menguap boleh dikaitkan dengan emosi atau dalam erti kata lain melalui kaedah ‘brain imaging’, iaitu salah satu bahagian otak yang berkaitan dengan emosi.

Menguap juga menyebabkan pertambahan rembesan hormon atau sistem endokrin yang sering dikaitkan dengan emosi dan empati seseorang.

Seorang penyelidik di Amerika Syarikat telah membuat satu eksperimen terhadap dua kumpulan pelajar yang terdiri daripada pelajar psikologi dan pelajar kejuruteraan.

Berdasarkan hasil eksperimen, didapati pelajar psikologi menguap sebanyak 5.5 kali berbanding dengan pelajar kejuruteraan yang hanya menguap 1.5 kali. Keadaan ini berlaku disebabkan pelajar psikologi telah dilatih untuk memahami perasaan dan emosi orang lain berbanding dengan pelajar kejuruteraan.

Menjawab persoalan mengapa menguap boleh berjangkit, ia berkaitan dengan konsep ‘emotive contagion’ iaitu bergantung kepada seseorang untuk memahami orang lain kerana sesetengah manusia sangat sensitif dengan perasaan dan emosi seseorang.

Bagaimanapun, didapati para atlet turut menguap selepas meregangkan otot-otot badan kerana ia akan memberi lebih kesegaran kepada sistem badan mereka.

Umat Islam dianjurkan untuk menutup mulut ketika menguap supaya syaitan tidak memasuki tubuh badan. Kepercayaan dari Greeks juga menyebut manusia mesti menutup mulut apabila menguap bagi mengelakkan roh terlepas melalui mulut.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Daud dan Abu Sa’id al-Khudri r.a, katanya Rasulullah saw bersabda : “Apabila seseorang daripada kamu menguap maka hendaklah ia tutup akan mulutnya dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan akan masuk (ke dalam mulut orang yang menguap itu).”

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram