ANGKARA masalah brek, seorang pemandu lori berdepan detik cemas dengan melompat keluar dari lori sebelum kenderaan yang dipandu hilang kawalan dan merempuh tembok konkrit.
Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat, Persiaran Sultan Hishamudin, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, dalam kejadian pukul 2.30 petang, pemandu lori berusia 35 tahun itu dalam perjalanan dari Tanjung Harapan ke Pelabuhan Klang.
“Akibat masalah brek, pemandu telah hilang kawalan dan cuba mengawal lori dengan meluruskan stereng ke arah tembok konkrit untuk memberhentikan kenderaan sebelum bertindak melompat keluar dari lori bagi menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan kejadian tersebut, pemandu lori mengalami kecederaan luka kaki, luka belakang badan dan bengkak lutut kanan.
Jelasnya, saringan air kencing terhadap pemandu lori adalah negatif.
Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan lori tersebut akan di hantar
ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.
Vijaya berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca kejadian.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Fadli Ismail di talian 017-2141318.

