mati pucuk angkara sihir

Allah SWT telah berfirman dalam surah Al Baqarah: 102:

”…Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut & Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka…”

Berdasarkan ayat di atas, antara perkara-perkara yang sering dilakukan oleh syaitan dan iblis ialah meretakkan hubungan suami isteri melalui pelbagai cara. Selain mengapi-apikan perasaan dan menimbulkan rasa cemburu atau curiga dalam hati pasangan, syaitan juga menjadi dalang dalam penggunaan ilmu sihir yang bertujuan untuk mengganggu hubungan kelamin antara suami dan isteri. Antara bentuk gangguan tersebut ialah hilang tenaga kelakian, mati pucuk dan lemah syahwat.

Menurut Doktor Mohamed Hatta Shaharom dalam bukunya Psikiatri: Perubatan, Undang-undang dan Masyarakat, penyakit mati pucuk atau impotens ditakrifkan sebagai kegagalan zakar mencapai ketegangan atau keadaan ereksi yang secukupnya untuk perhubungan seks yang memuaskan.

Penyakit ini merupakan satu igauan buruk dan amat ditakuti oleh kaum lelaki, dan bagi mereka yang mengidapi masalah ini, usaha akan dilakukan bagi mencari penawarnya tanpa mengira berapa harga yang perlu dibayar.

Perubatan moden menjelaskan bahawa punca berlakunya mati pucuk atau anaphrodisiacs banyak dipengaruhi oleh faktor usia, tekanan emosi, corak pemakanan dan gaya hidup yang diamalkan. Namun kita juga tidak boleh menolak adanya unsur-unsur penggunaan ilmu sihir dan ilmu hitam untuk menghalang berlakunya persetubuhan.

Menurut Dato Dr. Amran Kasimin dalam bukunya Tanda Sihir & Kekuatan Roh Untuk mengatasinya, jenis sihir yang biasa digunakan untuk tujuan ini ialah sihir santau dan sihir jerutan.

Penggunaan ilmu sihir untuk menyebabkan mati pucuk bukanlah satu perkara yang baru dikenali di zaman ini. Ianya sudah berlaku ribuan tahun dahulu. Menurut Walter Farber dalam bukunya Witchcraft, magic and divination in Ancient Mesopotamia, gejala ini telahpun wujud sejak zaman tamadun Mesopotamia (zaman Nabi Ibrahim a.s) atau lebih awal lagi.

Kaum lelaki pada zaman itu yang mengalami masalah tersebut akan mengamalkan jampi tertentu yang dikenali sebagai Šaziga (potency) bagi menaikkan kembali alat kelamin yang tiba-tiba tidak berfungsi. Antaranya ialah:

Let the wind blow, let the palm grove away, Let the clouds mass together, and a rainstorm pour down! Let my potency flow like river water! Let my penis be (as taut as) a harp string, so that it will not slip out of her.

Di dalam sejarah Islam, Rasulullah juga pernah disihir sehingga Baginda merasakan seolah-olah telah mendatangi isterinya walhal hakikatnya ianya tidak berlaku. Peristiwa ini diceritakan oleh Saidatina Aisyah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhāri dalam Ṣahīhnya,

Dari Aisyah r.a. berkata: Rasulullah telah disihir sehingga Baginda merasa seolah-olah telah mendatangi isteri-isterinya, padahal Baginda tidak mendatangi mereka, dan hal ini adalah akibat dari sihir yang kuat.”

Bukan semua mati pucuk kerana masalah kesihatan alami, boleh jadi juga angkara sihir

Di Eropah, Ivo of Chartres adalah antara ahli teologi yang menegaskan kemungkinan wujudnya unsur sihir bagi kes-kes mati pucuk. Beliau menyatakan,

”The Catholic faith teaches that there are demons and that by their doings they can inflict injury to men and prevent carnal copulation.”

Richard Keickhefer dalam bukunya Magic in the Middle Ages turut menyentuh persoalan ini dengan menyatakan,

Could they cause sexual impotence? Yes, Thomas Aquinas and other authorities concluded. As a lawyer in the late fifteenth century, Ulrich Molitoris encountered many cases in which women charged their husbands with impotence, but physicians testified that there was no natural cause, and thus they must be bewitched.”

Gajala mati pucuk akibat terkena sihir kelihatan kelihatan seolah-olah tidak masuk akal dan sukar untuk dipercayai. Sebenarnya, kerjasama syaitan dan penyihir memang berlaku dan ianya merupakan syarat utama keberhasilan amalan sihir.

Menurut Syeikh Wahid Abdussalam Baly dalam bukunya Ilmu Sihir dan Penangkalnya: Tinjauan Al Quran, Hadith dan Ulama, khadam sihir (yang terdiri dari jin dan syaitan) akan bersarang di otak atau lebih tepatnya di pusat pembangkit nafsu seks yang mengirimkan isyarat kepada organ seks. Kemudian ia membiarkan organ seks itu berfungsi secara biasa.

Apabila seorang suami mendekati isterinya dan ingin melakukan hubungan seks dengannya, maka khadam sihir tersebut menghentikan aktiviti pusat pembangkit nafsu seks yang ada di otak, sehingga isyarat-isyarat yang diberikannya tidak sampai kepada organ seks yang mengalirkan darah ke zakar.

Dengan demikian, darah akan kembali dengan cepat dari zakar sehingga membuatnya mengendur dan mengkerut. Biasanya tanda terkena sihir ialah apabila keupayaan lelakinya hilang apabila hendak melakukan hubungan seks dengan isterinya atau mengalami masalah mati pucuk apabila dia hendak bersama-sama dengan isterinya tetapi tidak pula apabila bersama isteri-isterinya yang lain atau pelacur ataupun perempuan simpanan. Dalam perubatan moden, ini dinamakan sebagai impotens situational.

Peter Bankart dalam bukunya Talking cures: A history of Western & Eastern psychotherapies, turut memuatkan panduan untuk mengenali antara gejala mati pucuk yang disebabkan oleh sihir dan mati pucuk yang disebabkan oleh faktor semulajadi dengan berkata,

When the member is in no way stirred and can ever perform the act of coition, this is a sign of frigidity of nature; but when it stirred and becomes erect, yet cannot perform, it is a sign of witchcraft.”

Masalah ini sering berlaku terutama dalam rumahtangga yang mengalami konflik akibat suami yang curang, atau disebabkan kehadiran orang ketiga bahkan terjadi juga dalam perkahwinan poligami.

Bukan sahaja suami yang merana, malah isteri turut merasakan keperitan apabila suami gagal berfungsi.

Sehingga kini, kemelut ini seakan-akan tiada kesudahan. Akhirnya, kedua-dua pihak saling tuduh menuduh, dan kesudahanannya menggunakan khidmat bomoh atau pawang untuk memulihkan tenaga batin dan menghantar semula sihir tersebut kepada tuannya. Ironinya, syaitan telah berjaya dalam misinya untuk memisahkan hubungan perkahwinan manusia.

Dari sudut undang-undang

Dari kacamata undang-undang, sememangnya tidak terdapat apa-apa peruntukan untuk menghukum tukang sihir ataupun orang yang menggunakan khidmatnya atas kesalahan menyebabkan mati pucuk. Namun seksyen 320 (a) Kanun Keseksaan menyebut:

Hanya jenis-jenis cedera yang berikut sahaja dinamakan “parah”:

  • Hilang tenaga kelakian;

Maka perbuatan menggunakan ilmu sihir bagi melemahkan tenaga kelakian adalah tergolong sebagai kesalahan menyebabkan cedera parah. Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut hanya terhad kepada jenayah yang dilakukan secara fizikal dan dapat dilihat dengan mata kasar.

Jika dibuat kajian lebih mendalam, sebenarnya ilmu sihir boleh digunakan untuk melakukan segala jenis jenayah yang kita kenali pada hari ini seperti membunuh, menyebabkan kecederaan, mengambil harta orang lain secara salah, merogol, mencabul kehormatan, mengurung secara salah dan lain-lain sebagaimana yang terkandung dalam Kanun Keseksaan.

Apa yang perlu diusahakan ialah mewujudkan satu peruntukan khusus bagi menangani jenayah sihir dan menyusun kaedah-kaedah pembuktian di mahkamah. Sekiranya masalah ini dibiarkan berleluasa, masyarakat akan terdedah kepada jenayah halus ini tanpa pembelaan. Wallahu a’lam

Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare