rasuah atau hadiah?

Dalam satu situasi yang sama, nilai pandangan boleh jadi berbeza. Analogi yang mudah seseorang yang ditahan kerana membawa dadah, sedang ia tidak tahu yang dibawa itu dadah. Dari sudut perundangan ia tetap salah dan dijatuhi hukuman. Sedangkan dari aspek moral pula ia tidak salah kerana tidak mengetahui barang yang dibawa itu adalah dadah. Begitulah juga sebaliknya.

“Kerana itu, perkara yang melibatkan garis sempadan ini boleh diekploitasikan oleh sesiapa sahaja untuk menyatakan orang itu betul atau salah. Bahkan kita juga boleh ekploitasikan ia untuk mengatakan kita buat betul dan bukan salah. Dalam hidup ini sebenarnya terdapat garis sempadan yang terlalu banyak untuk dinilai.”

Tuntasnya lagi, bagi seorang ahli perniagaan, pemberian tips kepada seseorang sudah menjadi budaya sekalipun yang menerima tips mempunyai gajinya sendiri. Katalah seorang pengangkat beg di hotel yang diberi tips. Ada yang kata itu adalah hadiah, atau upah. Dan ada juga yang kata itu adalah dorongan agar dia membantu kita.

“Sekiranya kita minta dia buat sesuatu, dia tidak akan buat. Namun jika kita memberikan tips yang lebih sedikit, sudah pasti dia akan buat kerja dengan lebih lagi. Jadi adakah ini satu rasuah?”

Berbalik kepada persoalan yang dibincangkan, budaya politik dalam negara kita, dalam budaya perniagaan, tips, hadiah, dan hamper, walaupun dari segi undang-undang ia adalah rasuah, namun hal ini telah menjadi satu budaya dalam masyarakat, dan tiada siapa mempertikaikannya hatta dia seorang tok guru sekalipun.

Abu Hanifah seorang ulama besar berkata, “hadiah kerajaan adalah rasuah” Kenyataan beliau berpaksikan pada kedudukannya yang mempunyai ilmu dan amal yang cukup tinggi. Walau bagaimanapun beliau tidak membuang segala hadiah pemberian kerajaan, malahan disimpannya.

Ketika anaknya jatuh sakit, beliau menyuruh anaknya berjumpa tabib, namun anaknya menyatakan ia tidak mempunyai wang. Maka Abu Hanifah menyuruh anaknya menggunakan hadiah atau wang kerajaan yang disimpannya untuk diguna merawat penyakit.

Tindakan Abu Hanifah itu mengundang rasa pelik anaknya lalu ditanya, “wahai ayahanda, ayah sendiri tidak mahu menggunakan duit ini, jadi mengapa ayah menyuruh saya membelanjakannya?”

Jawab Abu Hanifah, “aku lain dan engkau lain”

Kisah ini secara tidak langsung memberi makna yang cukup besar bahawa jika seseorang yang ingin hidup seperti ahli tasawuf, zuhud, punyai jiwa yang besar serta warak dari segala syubhah, ia tidak akan guna wang pemberian dari kerajaan. Bagi dirinya itu adalah rasuah. Dia tidak akan melewatkan solat walau seminit kerana iman dan amal ibadahnya yang kuat, maka dia berhak mengatakan ini adalah rasuah dan bukan hadiah.

Walaubagaimanapun berbeza dengan Imam as-Syafie. Beliau pernah menjawat jawatan kerani dibawah kerajaan yang memerintah di Yaman, kerana pada ketika itu beliau tidak mempunyai wang untuk belajar. Abu Hanifah anak orang kaya sedangkan Imam Syafie pula anak orang miskin.

Kedua-dua ulama tersohor ini mempunyai persepsi yang berbeza tentang dana dan wang yang dimiliki oleh kerajaan yang tidak berapa betul ketika itu. Maknanya sikap peribadi dan pandangan mereka berbeza terhadap sesuatu.

Seperti Abu Hanifah, beliau tidak mempertikaikan orang yang makan gaji dengan kerajaan, akan tetapi tidak bagi dirinya. Begitu juga dengan Ahmad bin Hambal yang juga tidak pernah mempertikaikan orang yang nak terima hadiah dari kerajaan.

Rasuah atau hadiah dinilai dari perspektif berbeza mengikut nilai pandangan seseorang

Begitu juga halnya dengan dana politik. Ia sudah menjadi perkara biasa dan menjadi budaya yang diterima dalam arena politik bagi mana-mana pertubuhan politik termasuklah yang duk menuduh dana yang diterima kerajaan adalah rasuah. Mereka yang menuduh ini juga menerima dana. Jika tiada dana mana mungkin sesebuah parti politik dapat bergerak merencana sebarang aktiviti.

Lalu tuntas Mahmood Zuhdi, timbul persoalan adakah dana politik itu rasuah atau tidak? Setiap parti politik dalam negara kita menerima dana dari individu atau sesebuah organisasi. Tujuan tidak lain mengharapkan apabila menang nanti adalah kemudahan yang akan diterima. Inilah satu bentuk rasuah yang telah dibudayakan dalam sektor tertentu.

Serupa juga dengan pemberian tips, meletakkan dana dalam akaun individu serta banyak lagi unsur syubhah yang telah dibudayakan oleh masyarakat kita tanpa kita sedari. Maka sesiapa yang berani melibatkan diri dalam syubhah ia kemungkinan besar berisiko tergelincir melakukan kesalahan.

Perumpamaannya mudah. Sekiranya kita naik bas itu tidak salah tetapi kadang-kadang kita duduk di sebelah perempuan yang bukan mahram. Perbuatan itu salah tetapi kesalahan itu sudah jadi kesalahan yang biasa dan diterima umum dalam budaya. Ia tidak sama macam arak yang jelas hukumnya, siapa yang minum arak sedikit atau banyak, budaya atau tidak, ia tetap dihukumkan haram.

Penentuan Dosa

Penentuan dosa atau tidak itu bergantung pada diri sendiri. Ada perkara yang jika si A buat tidak berdosa tetapi si B buat ia berdosa. Contohnya seorang yang naik bas dengan niat yang tidak baik ingin duduk di sebelah wanita. Perbuatan ini sudah berdosa.

Tetapi sekiranya ia naik dengan tidak fikir apa-apa, kemudian terduduk di sebelah wanita atau tertengok aurat wanita, itu tidak dihukumkan berdosa. Perbuatan yang sama tetapi balasan yang berbeza. Sama juga dengan orang yang berhijrah itu dijamin tuhan masuk syurga, namun Nabi s.a.w. menyatakan jika ada sesiapa yang terlintas di hati mereka berhijrah untuk tujuan lain maka tidak akan mendapat rahmat Allah. Kerana itu soal dosa pahala itu sukar ditentukan, hanya Allah yang lebih tahu bersandarkan pada hati seseorang.

Oleh itu, jika ia mengambil wang dana tersebut untuk faedah diri  dan bukan untuk kepentingan negara, agama atau bangsa maka itu satu yang berdosa, tetapi sama ada rasuah atau tidak itu persoalan yang lain. Hati memainkan peranan dalam penentuan dosa atau tidak kerana itu antara dia dengan Allah.

Jika betul apa yang dilakukannya, pasti Allah akan berikan ganjaran yang besar, sebaliknya jika menyimpang dari apa yang disyariatkan Islam, sudah pasti juga akan ada balasan dari Allah sesuai dengan firman Nya  dalam surah az-Zalzalah: 7 dan 8 ,

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah sekalipun nescaya dia akan dapat melihat balasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun nescaya dia akan melihat balasannya.”   

Sebagai umat Islam tindakan yang tepat sebagaimana yang dituntut oleh Islam ialah bersangka baik dalam setiap tindakan dan tidak menghukum hanya bersandarkan kepada persepsi semata-mata. Jika melihat seorang yang berzina sekalipun wajib bagi kita sembunyikan dari pengetahuan umum. Apatah lagi sesuatu perkara yang kita tidak pasti akan kesahihannya untuk dihebahkan.

Baginda s.a.w. bersabda, “Muslim adalah saudara bagi muslim lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya, (tidak meninggalkannya tanpa pertolongan) barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya dan barangsiapa melapangkan sesuatu kesusahan dari seorang muslim maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat dan barangsiapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat” (HR Muslim)   

Datuk Mahmood Zuhdi sehubungan dengan itu tegas menyatakan, rasuah adalah satu jenayah yang perlu dihukum, itu jelas kerana Allah melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah. Dari Aisyah r.hu katanya,

“Rasulullah s.a.w. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah” (HR al-Bazzar & Abu Ya’la)

Orang yang mengambil rasuah adalah orang yang merosakkan disiplin dalam masyarakat. Justeru itu dalam Islam jika kesalahan tersebut berulang-ulang atau memberi kesan yang terlalu besar kepada masyarakat dan agama, mereka yang memberi dan menerima rasuah layak dijatuhkan hukuman hudud yang mungkin boleh sampai kepada hukuman bunuh.

Baginya, korupsi yang berlaku kepada pemimpin sebenarnya menggambarkan korupsi satu bangsa dan masyarakat. Oleh itu sebagai rakyat mereka perlu bijak dan siasatlah sebelum menyebar, telitilah sebelum menghukum. Sekiranya ia bersalah, hukumilah dia. Dan jika sebaliknya buktikan kebenaran dengan telus. Itu sebaik-baik cara. Dan jangan sesekali menghukum hanya bersandarkan pada persepsi semata-mata.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seseorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan” (al-Hujurat:6)

_________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare