GENERASI muda pada masa kini kerap mengadap dunia internet dan laman media sosial yang popular ialah Twitter dan TikTok di mana berjuta manusia berkumpul untuk berkongsi pendapat dan meluahkan perasaan.

Media sosial ialah antara sumber terbesar fenomena baharu. Pengguna akan mencipta frasa atau memberikan nama baharu kepada kelakuan sedia ada dan sejak kebelakangan ini, fenomena ‘quiet quitting’ merupakan ‘ciptaan’ terbaru yang popular dalam kalangan Gen Z.

‘Quiet Quitting’ ini bukannya sebuah revelasi besar tentang perilaku manusia. Ia sudah lama dilakukan namun tidak diberikan nama – sehingga kini.

Fenomena ini dinamakan oleh Zaid Khan, seorang jurutera yang turut mempunyai akaun TikTok. Dalam video 17 saatnya, Zaid bercerita tentang konsep ‘quiet quitting’ yang ditonton berjuta-juta pengunjung.

Zaid berkata kelakuan itu (Quiet Quitting) bukannya bermaksud kita berhenti kerja terus. Kita masih bekerja tetapi berhenti memberikan usaha yang lebih – melaksanakan tanggungjawab tetapi berhenti mengamalkan budaya bahawa kerja itu merangkumi semua aspek kehidupan kita.

“Nilai kamu sebagai manusia tidak bergantung kepada betapa kerasnya kamu bekerja,’’ katanya.

Secara asasnya, ia merupakan sebuah falsafah untuk kita melakukan kerja tetapi tidak melebihi tahap yang mencetuskan stres dan keresahan. Kita meletakkan batas dengan melakukan apa yang ditugaskan dalam masa ditetapkan tanpa melebih-lebih.

Tetapi sudah tentunya, dalam zaman internet semua benda dikritik, falsafah ini dibantah ramai orang dengan menyifatkan  ‘quiet quitting’ hanyalah perkataan lain untuk malas.

Ada yang berkata siapa yang mengamalkan budaya ini tidak patut bekerja dan hanya memberikan alasan untuk membuat kerja secara ala kadar.

Jadi adakah ‘quiet quitting’ ini benda yang buruk dan adakah ia sebuah alasan untuk orang lain bermalas-malasan?

Sebenarnya, memang ia benda yang buruk, tetapi untuk setengah orang, ia merupakan cara untuk mereka berasa seperti manusia.

Sebagai pekerja, mereka dibayar untuk bekerja tetapi itu tidak bermakna bahawa mereka akan memberikan komitmen penuh kepada tanggungjawab mereka di pejabat sehingga mengkorbankan masa dan kesihatan fizikal serta mental mereka.

‘Quiet quitting’ ini ialah sebuah budaya pekerja yang mana mereka ingin seimbangkan kehidupan di rumah dan waktu di pejabat kerana bekerja terlampau keras sehingga memberi kesan buruk akan beri kesan kepada kesihatan mental.

Tambahan pula dengan orang atasan dan rakan sekerja lain yang tidak reti menghormati waktu rehat orang lain.

Banyak pekerja generasi muda berkata mereka sedar bekerja dengan keras kadang-kadang tidak dihargai dan tidak memberikan perbezaan kepada masa depan dan gaji mereka. Ini bukannya kerana mereka malas, tetapi kerana ia tidak berbaloi untuk korbankan diri kita sendiri semata-mata untuk dapat gaji.

Ramai yang komen bahawa ‘quiet quitting’ ini kelakuan pasif agresif kerana ciri-cirinya seperti melakukan apa yang perlu walaupun tidak mahu.

“Jadi berhentilah kerja.”

Mungkin itu yang ramai fikirkan ketika berhadapan dengan orang yang tidak memberikan 100% kepada pekerjaan mereka. Kenapa tak berhenti sahaja?

Kerana orang yang amalkan ‘quiet quitting’ ialah golongan yang tahu mereka tidak mampu untuk berhenti, terutamanya golongan muda.

Banyak yang sarankan mereka mencari kerja mereka minat tetapi keadaan ekonomi tidak menentu ini,  mereka sanggup bekerja mana yang ada semata-mata untuk hidup walaupun mereka tidak suka.

Generasi muda sekarang hidup dalam zaman tekanan yang tinggi, dengan masalah kesihatan mental mendadak dengan 80% daripada pemuda terdedah kepada anxiety dan kemurungan sejak mulanya pandemik.

Mereka akan buat tugas mana yang perlu tanpa menjejaskan diri sendiri dan itu merupakan masalah yang semua orang perlu fahami.

Daripada memberikan prejudis kepada pekerja-pekerja ini, para majikan sepatutnya cuba memahami mereka dengan memberikan persekitaran yang sesuai supaya menjadi pekerja yang ideal.

Masyarakat juga perlu berhenti mengkritik orang lain yang masuk kerja tanpa senyuman atau semangat.  Mengaku sahaja, kalau kita semua sekaya Elon Musk, kita semua akan berhenti kerja.

Walaupun bekerja ialah sebahagian daripada perjalanan hidup, bukannya semua mampu menghadapi tekanan dan perasaan kecewa yang datang dalam kerjaya kita.

Jangan malu kalau kamu amalkan ‘quiet quitting’. Orang boleh marah kalau kita malas tetapi mereka tak boleh marah kalau kita menjaga diri kita sendiri.

*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM.