Antara lambaian Monsun Timur Laut dan PRU-15

Dari Penulis

Awan mendung telah tiba

Di angkasa gelap gelita

Hilang ria hilang suka

Hendak mengadu pada siapa”.

(Lagu Awan Mendung nyanyian Saloma)

Mendung tidak bererti hujan, tetapi awan mendung kerap membawa hujan kebelakangan ini. Bukan lagi frasa ‘Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari’. Ini kerana hujan kadang kala di awal pagi, tengahari, petang atau malam, tanpa menunggu ketika, tanpa mengira waktu.

Kepada siapa hendak mengadu? Semua ketentuan Yang Maha Esa. Benarlah ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), negara akan mengalami musim tengkujuh menjelang hujung tahun, seiring lambaian Monsun Timur Laut.

Monsun ini membawa hujan lebat terutama bagi negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak. Hujan ini dijangka membawa bersamanya ancaman banjir yang merosakkan harta benda, malah boleh meragut nyawa.

Dalam keadaan kelam kabut begini, dan ketika rakyat berhadapan dengan kepayahan serta ketidak selesaan hidup akibat banjir, desakan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 juga makin lantang dilaungkan.

Wajarkah dalam keadaan rakyat sibuk memikirkan survival serta mengurus diri dan harta benda, mereka disibukkan dengan PRU dan kempen pilihan raya? Haruskah ditambah sengsara mereka yang sedang fokus memikirkan nasib diri dan keluarga?

Walau pun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan jika PRU ke-15 diadakan pada musim banjir, parti itu dan Barisan Nasional (BN) sedia meredah banjir berkempen, pilihan raya bukan hanya melibatkan ahli politik atau parti yang hendak bertanding.

Rakyat yang bakal menentukan parti mana membentuk kerajaan, mesti diambil kira. Pergilah berkempen meredah banjir. Jika rakyat yang hendak mendengar kempen terlibat dengan banjir, adakah mereka punya masa untuk mendengar kempen dan memikirkan mengenai PRU? Malah ketika itu, mungkin sebilangan besar berada di pusat pemindahan.

Pusat komuniti atau dewan orang ramai serta sekolah biasanya adalah antara pusat mengundi. Apabila banjir melanda, tempat-tempat inilah juga yang sering digunakan sebagai pusat pemindahan. Kerana itu memang tidak sesuai PRU-15 diadakan tahun ini. Ramai pemimpin politik tidak setuju, begitu juga rakyat umum.

Ada pula pemimpin dalam UMNO mencadangkan PRU diadakan awal sebelum banjir melanda. Yang bercakap ini masakan tidak faham, masakan PRU boleh diadakan dalam sekelip mata. Hari ini bubar perlimen, esok pengundian.

BERITA BERKAITAN Kalau PRU-15 diadakan semasa banjir sekalipun, kita sanggup turun berkempen – Ahmad Zahid

Masa diperlukan untuk writ pilihan raya dikeluarkan. Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) perlu bermesyuarat menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh membuang undi serta waktu berkempen. Dalam proses ini banjir mungkin sudah pun melanda.

Kabinet dalam mesyuaratnya pada 22 September juga dilaporkan tidak mencapai kata sepakat mengenai tarikh PRU. Anggota kabinet daripada BN dikatakan menyokong sementara daripada parti Perikatan Nasional (PN) yang sama-sama mendokong kerajaan tidak setuju.

Kerana itu diharap perdana menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, meneliti pandangan ahli kabinet memandangkan keputusan pembubaran seharusnya ditentukan oleh kabinet, bukan oleh mana-mana parti tertentu, atau untuk memenuhi kehendak individu tertentu.

Benar Ismail Sabri adalah individu yang berhak menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk membubar parlimen. Namun sebagai pemimpin yang bertangung jawab dan sentiasa menyelami hati nurani rakyat, beliau tentu akan menimbang sedalam-dalamnya sebelum membubarkan parlimen.

Sebagai pemimpin yang kasihkan rakyat ‘Keluarga Malaysia’, masakan beliau mahu membebankan rakyat dengan PRU ketika mereka bergelumang dengan banjir.

Justeru para pemimpin UMNO khususnya, harus berlaku adil kepada Ismail Sabri dengan tidak meletakkan tekanan demi tekanan ke atas bahunya. Jangan sampai UMNO dilihat sebagai parti yang lebih mementingkan PRU daripada kesusahan rakyat.

Yang sepatutunya dilakukan ialah kesemua pemimpin politik, baik di pihak kerajaan atau pembangkang, sama-sama berbincang dan bekerjasama membantu kerajaan membuat persedian sebaik-baiknya menghadapi banjir di samping merancang langkah-langkah konkrit menghadapinya.

Adalah lebih baik pada waktu ini menyibukkan diri dengan usaha menangani banjir daripada sibuk memikirkan PRU. Tiada siapa tahu bagaimana keadaan banjir tahun ini. Mungkin teruk dan berpanjangan. Kerana itu persiapan bersepadu perlu dibuat untuk menanganinya.

Apa sangat yang hendak dikejar mengadakan PRU segera. Kerajaan hari ini masih berfungsi dengan baik. Pembangkang pun berdiri menyokong kerajaan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dicetuskan oleh Ismail Sabri ketika mengambil alih jawatan. Sehingga ini tiada masalah dengan pelaksanaan MoU ini. Semua yang terlibat menghormati.

Negara baharu sahaja hendak bangun semula daripada kesan teruk pandemik Covid-19. Segala usaha memacu ekonomi dan mensejahterakan rakyat kini giat dilaksanakan setelah negara memasuki era endemik April lalu.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan banyak sektor ekonomi gulung tikar, mengakibatkan ramai rakyat hilang kerja. Oleh itu fokus kerajaan untuk menggerakkan semula pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan tidak harus diganggu dengan isu lain termasuk PRU.

Tambahan lagi tempuh tamat parlimen bukan lama lagi, pada Julai 2023. Apabila tiba tarikh itu, pilihan raya tetap diadakan. Sabar sahaja menunggu. Takkan lari gunung dikejar. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tak seperti biasa, Piala Dunia 2026 kelihatan suram

HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Piala Dunia 2026 dimulakan dengan perlawanan pertama melibatkan satu daripada pasukan tuan...

More Articles Like This