SEDEKAD menghilang dari radar seni, penyanyi Yana Yunus sekali pun tidak pernah melupakan industri hiburan.
Yana atau Kameliana Mohd Yunus,39, yang sebelum ini pernah menggangotai kumpulan Babylon, kini muncul dengan single terbaharu berjudul Sahabat.
Lebih istimewa lagi, karya tersebut dilancarkan pada majlis resepsi perkahwinannya di The Hall, KL Gateway Mall, hujung minggu lalu.
“Ini merupakan single ketiga saya dan kalau boleh memang saya nak buat lain daripada yang lain.
“Jadi saya terfikir untuk mendendangkan lagu ini pada majlis resepsi sekaligus melancarkan lagu ini.
“Sahabat mengisahkan tentang kehidupan saya bersama rakan. Kami terputus hubungan dan saya luahkan perasaan itu menerusi lagu. Daripada sekadar ‘humming’ terus terhasil sebuah karya yang lengkap,” katanya kepada URTV.

Yana yang anggun menyarung persalinan warna champagne rekaan Anas Abdullah, sedondon bersama suami, Mohammad Raj Kumar Abdul Qayyum,43, bersyukur majlis perkahwinannya selesai mengikut apa yang dirancang.
“Kami bernikah pada April lalu dan baharu kini ada masa untuk menganjurkan sebuah majlis bagi meraikan hari bahagia kami bersama rakan-rakan dan keluarga.
“Saya sukakan Raj sebab dia seorang lelaki yang jujur dan baik. Walaupun pada awalnya, saya tidak menaruh hati pada dia, namun siapa sangka, ada jodoh antara kami berdua.
“Dia juga tak halang untuk saya terus aktif dalam bidang nyanyian sebab dia suka lihat saya menyanyi.
“Itu yang buatkan saya mudah untuk terima cintanya sebab kami ada persamaan,” ujarnya yang memberitahu suaminya bekerja di sebuah kilang gula di Seremban, Negeri Sembilan.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan Yana bersama rakan artis seperti Elda Susanti, Azura Aziz bersama suaminya dan Mac Ruhayu.
Selain itu, kehadiran rakan selebriti seperti Khaty Azian, Rozita Rohaizad dan Yusrina turut menyerikan lagi acara berkenaan.

Bercerita lanjut, Yana mengakui ini merupakan perkahwinan keduanya selepas mahligai pertama yang dibina dahulu hanya mampu bertahan selama 10 tahun sahaja.
Selepas berpisah, dia mula menyanyi di kelab-kelab dan hotel demi menyara dua orang anak lelakinya, Muiz Mikael dan Muiz Muhammad.
“Sejujurnya selama 10 tahun saya tak aktif menyanyi sebab ingin beri fokus sepenuhnya kepada urusan rumah tangga.
“Tapi siapa sangka, perkahwinan itu tak bertahan lama. Selepas itu saya mulakan semula karier seni dengan menyanyi di kelab-kelab dan hotel.
“Selain menyanyi, saya juga ada menjalankan bisnes ‘home spa’ dan menjual produk lip matte dan bengkung,” kongsinya.

Untuk info, Yana pernah dilamar untuk menjadi artis rakaman syarikat antarabangsa Pony Canyon (M) Sdn Bhd (kini Interglobal Music) pada usia 15 tahun sebagai penyanyi dangdut.
Pada 2005, Yana menerbitkan album pertama, Demi Cinta dengan menggunakan wang simpanan sendiri. Malangnya, album tidak dikeluarkan atas sebab tertentu.
Justeru sekitar 2018, dia mengeluarkan semula Demi Cinta dan memberi beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti lagu yang terpilih.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

