ACARA Grateful Campbell Fest yang julung kalinya diadakan di Kompleks Campbell bermula hari ini mendapat sambutan hangat oleh ‘penyelam-penyelam’ barangan terpakai, antik serta vintaj.
Bermula pukul 10 pagi, pusat beli-belah tertua di Kuala Lumpur ini diserbu pengunjung dan ‘penggila’ koleksi barangan terpakai yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Hartanah dan Perkhidmatan Kumpulan Shapadu, Zarimah Mohamed berkata, beliau sangat menyokong penganjuran acara sebegini yang amat bersesuaian dengan konsep vintaj kompleks ini.
“Sememangnya Kompleks Campbell tidak mampu menandingi pusat beli belah terkenal yang lain.
“Namun kami berhasrat menjadikan kompleks ini sebagai pusat pengembangan seni, budaya dan muzik,” katanya.

Beliau juga menzahirkan ucapan ribuan terima kasih buat penganjur Grateful Campbell Fest, The Campbellian iaitu Amirkhattab, Johane Putra dan Farid Yunus yang bertungkus lumus menjayakan acara ini.
Beliau mengakhiri ucapan dengan merasmikan acara Grateful Campbell Fest dan acara penyampaian hadiah oleh penganjur, The Campbellian.

Acara yang menghimpunkan lebih 80 reruai ini dipercayai mampu menaikkan nama Kompleks Campbell sekaligus membantu peniaga-peniaga kecil yang terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Antara barangan yang dijual di Grateful Campbell Fest ini ialah, kasut berjenama yang tidak lagi dikeluarkan di pasaran, pakaian terpakai dan berjenama, figura animasi, barangan antik seperti kaset, permainan, piring hitam dan banyak lagi.

Selain jualan barangan terpakai, pengunjung juga boleh berhibur dengan acara nyanyian ‘busker’ dan memenangi hadiah bernilai ribuan ringgit menerusi acara cabutan bertuah.
Bagi mereka yang berminat, Grateful Campbell Fest akan berlangsung sehingga Ahad ini dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di aras bawah dan Tingkat 3, Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.



