SEJAK merdeka lagi, pelbagai dasar dan agenda telah pun direncana bagi merapatkan jurang antara kaum terutama meningkatkan penyertaan bumiputera dari segi ekonomi.
Bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 telah dibentangkan demi kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, agenda bumiputera yang sentiasa dicanang dilihat masih lemah dan tidak dilaksanakan sebaik mungkin.
Itu yang ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Mohd Hanif Omar yang menyifatkan agenda pemerkasaan bumiputera masih indah khabar daripada rupa.
Menurut Mohd. Hanif, perkara itu berlaku apabila usaha MPM memperharui resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera 1 (KEB) 1965 pada tahun 2020 seolah-olah dipandang enteng sahaja.
Jelas beliau, resolusi serta janji-janji kerajaan ketika itu untuk memperkasa semula inisiatif berkenaan hingga kini masih tidak kelihatan walaupun kerajaan sudah bertukar ganti.
“Namun, kelesuan terhadap resolusi kongres itu amat ketara dengan kelesuan terhadap usaha itu adalah manifestasi bahawasanya agenda bumiputera sememangnya kian lesu.
“Jika agenda ini dah lesu, masakan komuniti ekonomi bumiputera akan lebih berdaya saing dan lebih berkemampuan terutama dalam mendepani kegawatan ekonomi yang telah pun mengetuk pintu kita.
“Sayugia kita semua maklum, model pembangunan negara kini berteraskan kemakmuran, maka ia ambil kira peranan dan sumbangan semua domain kemakmuran selain ekonomi serta kewangan secara saksama,” katanya.

Baca artikel berkaitan: MPM: Sidang Penyatuan Bangsa bincang tangani ancaman kemakmuran bumiputera
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam majlis Randau Ke-14 yang bertemakan ‘Kemakmuran Negara Tempang Dilanda Krisis Ekonomi-Kewangan’ anjuran MPM, hari ini.
Turut hadir, bekas Presiden Agensi Insurans Malaysia (MIA), Dr. Salihin Abang; bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Mohamad Daud Dolmoin; Ketua Eksekutif Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Sulaiman Mahbob dan Canselor Universiti Cyberjaya, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.
Majlis berkenaan turut dihadiri Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad, wakil-wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tokoh-tokoh dari seluruh negara.
Mengulas lanjut, Mohd Hanif yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata, pelbagai isu yang melanda negara termasuk ketidakstabilan politik dan keberkesanan sistem penyampaian awam termasuk sistem kehakiman serta korporat yang semakin longlai kian diragui kemampuan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.
“Begitu ketara kebimbangan dan keluhan rakyat, adakah ia petanda bahawa kemakmuran negara ini mula tempang.
“Lihat kepada agenda kemakmuran nasional terutama agenda bumiputera, kita merupakan penduduk majoriti dengan komposisi lebih 65 peratus, takkan ekonomi negara kita hendak dibiarkan untuk digalas dalam kalangan 34 peratus dan kita berperanan sekadar menokok tambah sahaja,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

