Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersalaman serta beramah mesra dengan sebahagian guru-guru ketika hadir ke Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama Warga NUTP di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

GRED Guru Besar dan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54 yang akan memberi faedah secara langsung kepada seramai 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seluruh negara, umum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Guru Besar Gred DG48 (Khas Untuk Penyandang) juga tidak lagi akan diturunkan sebagai Guru Penolong Kanan atau Guru Biasa di sekolah rendah apabila dinaikkan pangkat ke Gred DG52 dan DG54 secara time based Berasaskan Kecemerlangan (TTBK).

“Pelaksanaan ini akan menaik taraf gred hakiki bagi jawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan serta membolehkan mereka yang telah dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi, kekal di jawatan itu sehingga Gred DG54,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung Malaysia yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan ‘turun pangkat’ dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Perdana Menteri berkata isu Gred Guru Besar di sekolah rendah yang hanya dihadkan kepada Gred DG48 dan Guru Penolong Kanan pada Gred 44 sebelum ini, merupakan antara yang dibangkitkan NUTP kepadanya secara peribadi.

Ismail Sabri berkata Kementerian Pendidikan juga sedang mengkaji struktur perjawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah melalui cadangan Model Sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54 bagi memastikan kedudukan pentadbir sekolah sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan warga sekolah.

Selain itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG48 juga akan diberi peluang dilantik sebagai Guru Penolong Kanan di sekolah rendah, justeru Guru Penolong Kanan di sekolah rendah tidak hanya terhad kepada Gred DG44 sahaja. 

Menurutnya Guru Penolong Kanan yang telah dinaikkan pangkat gred yang lebih tinggi juga akan kekal di jawatan itu sehingga Gred DG54. 

Perdana menteri turut mengumumkan laluan kerjaya Guru Cemerlang di sekolah rendah juga diperluas sehingga ke Gred DG52 dan DG54 memandangkan 90.68 peratus guru sekolah rendah telah pun berada di Gred Siswazah.

Mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas komitmen padu diberikan guru terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19, Ismail Sabri memberi jaminan keluh-kesah para pegawai perkhidmatan pendidikan akan sentiasa didengar kerajaan.

“Ketahuilah, kerajaan amat menghargai pengorbanan semua guru…Sesungguhnya tanpa guru, saya juga tidak mungkin berada di sini, di hadapan warga NUTP sekalian hari ini. Syabas dan tahniah diucapkan!” katanya.

Pada masa yang sama, kerajaan juga menurutnya sedang berusaha mengatasi pelbagai isu membelenggu pendidikan negara seperti penyelenggaraan sekolah-sekolah bagi menjaga aspek keselamatan, elaun penolong kanan sekolah yang perlu dikaji semula dan kekurangan guru yang harus diatasi segera. 

Beliau berkata kerajaan juga mengambil berat isu sekolah daif di Sabah dan Sarawak dan perkara itu diberi perhatian serius dalam Bajet 2023 yang akan dibentang Jumaat depan.

Katanya kerajaan juga menyedari terdapat lima juta murid di 10,250 sekolah memerlukan kemudahan ICT yang terkini, selaras dengan perkembangan teknologi semasa. 

“Masa depan negara terletak di tangan generasi muda yang menerima didikan guru-guru yang memikul tanggungjawab untuk melahirkan warga Keluarga Malaysia yang kreatif, inovatif sehingga mampu bersaing di pentas dunia.

“Oleh itu saya berharap agar guru-guru terus memainkan peranan yang diberikan dengan berkesan walaupun berdepan pelbagai cabaran, yang adakala membuat guru-guru berasa lelah dan kecewa seolah-olah usaha mereka tidak disokong serta dihargai,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua ibu bapa supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada guru dan pihak sekolah dalam menjayakan usaha mereka meningkatkan pencapaian akademik atau kokurikulum anak-anak. 

“Sewajarnya, ibu bapa menggunakan saluran yang betul untuk mengatasi sebarang masalah berbangkit, sekali gus membantu menaikkan semangat dan motivasi guru-guru dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab,” katanya.- BERNAMA