INDUSTRI memerlukan tenaga kerja asing untuk melakukan pelbagai kerja - GAMBAR HIASAN

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) telah meluluskan sejumlah 541,315 kuota pengambilan pekerja warga asing sehingga 26 Sept lepas dan daripada jumlah itu sebanyak 436,613 kuota telah membuat bayaran levi. 

KSM berkata mengambil kira 1.3 juta pekerja warga asing sedia ada serta bilangan kuota yang telah diluluskan sebanyak 541,315, jumlah itu telah hampir memenuhi permintaan industri untuk keperluan guna tenaga pekerja warga asing.

Katanya keperluan guna tenaga pekerja warga asing di Malaysia adalah dalam lingkungan 1.8 juta dan merupakan jumlah maksima yang pernah dicapai. 

Dalam satu kenyataan hari ini, KSM berkata setakat ini terdapat 1.3 juta pekerja warga asing di sektor-sektor yang dibenarkan pengambilan dan penggajian pekerja warga asing, termasuk sektor informal

Katanya pada masa yang sama, lebih 612,000 pekerja warga asing telah berdaftar dan lulus semakan Pemeriksaan Keselamatan dan Kesihatan (PKK) di negara-negara sumber, manakala terdapat 228,321 pekerja warga asing atau bersamaan 37.3 peratus telah diluluskan Visa Dengan Rujukan oleh Jabatan Imigresen yang sedang menunggu masa untuk tiba di negara ini.

KSM berkata perbincangan telah diadakan dengan pihak industri mengenai isu kemasukan pekerja warga asing, dan dimaklumkan bahawa industri seperti sektor perladangan yang telah diberikan kelulusan kuota, tidak akan membawa masuk guna tenaga pekerja warga asing secara sekali gus. 

Katanya pengambilan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan dan perancangan majikan, kerana mereka mempunyai tempoh masa sehingga 18 bulan untuk membawa masuk pekerja warga asing selepas bayaran levi diselesaikan.- BERNAMA