PEMBINAAN semula kapal tempur pesisir (LCS) akan dilaksanakan sebaik sahaja semua rundingan selesai dan setiap perjanjian dimuktamadkan dalam fasa mobilisasi yang akan berakhir penghujung Disember ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pembinaan LCS 1 pula dijangka dapat disiapkan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun seperti yang ditegaskannya sebelum ini.

Menurut beliau, tempoh tersebut adalah realistik memandangkan semua pihak terlibat mempunyai tempoh 14 bulan untuk memastikan kapal siap pembinaan selepas fasa mobilisasi selama enam bulan berakhir Disember.
Hishammuddin berkata, LCS 1 itu juga mesti berada di permukaan air sebelum menjalani percubaan seperti Harbour Acceptance Test dan Sea Acceptance Trial.
“Secara keseluruhannya, semua pihak daripada kerajaan mahu pun komersial memainkan peranan masing-masing dengan sangat baik terutama di fasa mobilisasi ini.
“Garis masa ini mesti dipatuhi semua pemegang taruh khususnya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) selaku syarikat pembuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin memaklumkan pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan kerajaan dalam fasa mobilisasi selama enam bulan sejak Jun lalu khususnya melibatkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Baca artikel berkaitan: Bukti penyelewengan LCS dikumpul seawal 2010 – Laporan Audit
Selain itu, jelasnya, ia juga melibatkan pihak komersial khususnya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan BNSSB.
Hishammuddin berkata, fasa mobilisasi itu berjalan lancar selari dengan syor beberapa pihak berkepentingan termasuk Jemaah Menteri; Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).
“Dalam tempoh kira-kira tiga bulan pertama fasa mobilisasi ini sahaja, banyak perkara yang telah dilaksanakan malah sebahagiannya telah pun dapat diselesaikan,” katanya.
Daripada sudut komersial, Hishammuddin memberitahu, dua perkara sedang dilaksanakan termasuk rundingan yang dibuat dengan 145 vendor tempatan dan 42 pengilang peralatan asli (OEM) luar negara, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) selaku syarikat pembuat telah menerima aku janji terutamanya melibatkan peralatan serta sistem untuk menyokong BNSSB meneruskan projek LCS.
Di samping itu, beliau berkata, proses penamatan penglibatan ‘orang tengah’ iaitu syarikat Contraves Advanced Devices (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn. Bhd. (CED) juga sedang giat dilakukan.
Pada masa sama, kata beliau, BNSSB juga sedang giat berunding dengan sembilan institusi perbankan bagi tujuan penstrukturan semula hutang dengan rundingan masih berjalan serta dijangka dimuktamadkan dalam tempoh mobilisasi ini.
Beliau berkata BNSSB juga sedang berunding dengan Naval Group dari Perancis mengenai reka bentuk terperinci, yang memutuskan akan menghantar pasukan teknikalnya untuk melakukan audit terhadap reka bentuk terperinci kapal itu pada bulan ini.
Hishammuddin berkata wakil Kerajaan Perancis juga telah bertemu dengannya dan menyerahkan komitmen bertulis menyatakan projek LCS turut menjadi keutamaan negara itu sekali gus akan meneruskan serta menyelesaikan projek berkenaan.
“Ini perkembangan yang mustahak dan amat membantu memandangkan Naval Group dimiliki Kerajaan Perancis,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

