Tragedi Kanjuruhan bukan disebabkan pergaduhan penyokong

Dari Penulis

TRAGEDI melibatkan penyokong bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur malam tadi disifatkan bukan disebabkan pergaduhan atau rusuhan antara penyokong.

Perkara itu ditegaskan Menteri Koordinator Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Indonesia, Mahfud MD seperti dilapor Kompas.com.

Menurut Mahfud, kebanyakan mangsa yang maut selepas perlawanan Liga 1 antara Arema FC menentang Persebaya Surabaya itu adalah akibat rempuhan, berhimpit-himpit, terpijak dan sesak nafas.

Jelas beliau, tiada penyokong Persebaya dibenarkan menonton perlawanan tersebut atas dasar keselamatan.

“Saya perlu tegaskan bahawa tragedi di Kanjuruhan itu bukanlah pertembungan antara penyokong Persebaya dengan Arema.

“Penyokong di atas padang hanyalah daripada pihak Arema,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfud menjelaskan telah menerima maklumat berhubung tragedi tersebut daripada Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo.

Pada masa sama, beliau juga telah menghubungi Ketua Polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Nico Afinta bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut Mahfud, pihak berkuasa telah pun menjangkakan ‘situasi tegang’ sebelum perlawanan tersebut berlangsung dan memberi cadangan tentang penyelarasan serta cadangan teknikal di Stadium Kanjuruhan.

Jelas beliau, antara cadangan yang diketengahkan adalah perlawanan diadakan pada sebelah petang, bukan pada waktu malam.

Baca artikel berkaitan: Jokowi arah liga dihenti sementara, siasat menyeluruh tragedi rusuhan bola sepak

Mahfud memberitahu, pihak berkuasa turut meminta supaya jumlah penonton disesuaikan dengan kapasiti stadium iaitu 38,000 orang.

“Cadangan itu tidak dilaksanakan oleh penganjur perlawanan yang kelihatan sangat bersemangat.

“Perlawanan tetap diadakan pada waktu malam dan 42,000 tiket telah terjual,” katanya.

Selain itu, Mahfud turut memerintahkan Pihak Daerah Malang untuk menanggung kos rawatan bagi mangsa yang terlibat.

Beliau turut menyampaikan rasa kesal dan takziah daripada kerajaan atas tragedi berkenaan sambil berharap keluarga mangsa terus bersabar.

“Kerajaan telah melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan perlawanan bola sepak dari semasa ke semasa dan akan terus ditambah baik.

“Namun, sukan yang menjadi kegemaran masyarakat ini sering mencetuskan provokasi daripada penyokong untuk meluahkan emosi secara tiba-tiba,” tambahnya.

Sementara itu, memetik laporan Suaramerdeka.com, jumlah korban akibat Tragedi Stadium Kanjuruhan yang pada mulanya mencecah 127 orang kini telah pun mencapai 187 mangsa.

Menurut laporan tersebut, 18 individu tidak dikenal pasti identitinya.

Dalam kejadian malam tadi, penyokong Arema berang setelah pasukan mereka tewas 3-2 dalam pertembungan ‘derbi’ Jawa Timur di Stadium Kanjuruhan, Malang.

Lebih kurang 3,000 penyokong telah memasuki kawasan padang bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Polis pencegah rusuhan terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan penyokong selepas suasana tidak terkawal.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This