Tip Belanjawan 2023: Saiz penjawat awam dan subsidi bersasar

Dari Penulis

Tip # 5: Kerajaan belanja untuk apa? Perlukah corak perbelanjaan kerajaan distruktur semula?

Saya ada kerisauan yang tinggi terhadap status perbelanjaan kerajaan. Tip # 3 saya mempersoalkan kecukupan pendapatan kerajaan untuk menampung Perbelanjaan Mengurus Kerajaan (OE). Keupayaan kerajaan memenuhi keperluan belanja mengurus adalah amat penting. Jangan berhutang untuk perbelanjaan mengurus.

Ada lima komponen perbelanjaan utama yang merupakan 87% dari OE yang kita perlu beri perhatian; contoh untuk tahun 2021: Emolumen (37%) dan Bayaran Persaraan (13%), Bayaran Khidmat Hutang (16%), Khidmat & Bekalan (11%) dan Subsidi & Bantuan Sosial (10%).

Saya ingin menyentuh dua perkara untuk posting ini, Emolumen & Bayaran Persaraan dan Subsidi & Bantuan Sosial. Bayaran Khidmat Hutang akan saya jelaskan dalam posting seterusnya.

Emolumen dan Bayaran Persaraan: Untuk tahun 2021, Emolumen penjawat awam berjumlah RM85.9 bil dan Bayaran Persaraan adalah RM 29.1 bil. Dua item ini berkaitan dengan saiz Penjawat Awam. Penjawat awam kini (2020) berjumlah hampir 1.6 juta orang. Kerajaan merupakan majikan terbesar di negara kita, menggajikan hampir 10.2% peratus dari tenga kerja Malaysia 2020 (15.7 juta orang).

Soalan yang ‘amat’ sensitif untuk disentuh-adakah saiz penjawat awam di Malaysia terlalu besar? Kecil? Sesuai? Agak susah untuk buat perbandingan antara negara secara tepat, khususnya ‘definasi’ kakitangan awam berbeza antara negara.

Ehwal saiz dan produktiviti penjawat awam memang rumit. Namun, kita tidak boleh mengelak dari membincangkan perkara ini. Bincang dengan profesional dan hormat.

Oleh kerana Emolumen dan Bayaran Persaraan merupakan komponen terbesar (50%) dalam OE, kita mesti jelas dan mempunyai strategi yang khusus mengenai saiz penjawat awam.

Secara umum, saiz penjawat awam seharusnya berkaitan dengan saiz ekonomi negara (KDNK). Pada tahun 2000, penjawat awam ialah seramai 676 ribu orang. Pada tahun 2010, meningkat ke 1 juta, dan sekitar 1.6 juta orang tahun 2020. Nisbah mudah produktiviti penjawat awam, KDNK/Bil Penjawat Awam, turut menunjukkan tren yang meningkat, memberi kewajaran awal bahawa saiz penjawat awam adalah berkadaran dengan saiz ekonomi.

Baca artikel berkaitan: Bajet 2023: Cuepacs minta sebulan gaji untuk penjawat awam

Jangan terburu-buru membuat keputusan untuk kecilkan-‘down-sizing’ tetapi sebaiknya tentukan apa yang sesuai dan wajar, ‘right-sizing’. Dengar semua pandangan. Letak negara sebagai keutamaan.

(Nota: Angka penjawat awam bukan angka rasmi tetapi diperolehi dari beberapa sumber dan memberi anggaran yang wajar. Lihat nota di bawah carta berkaitan).

Subsidi dan Bantuan Sosial: Menteri Kewangan telah secara rasmi memaklumkan bahawa jumlah subsidi untuk tahun 2022 dijangka mencecah hampir RM80 bilion. Menghampiri jumlah Emolumen tahun 2021. Amat besar bagi saya. Kita semua perlu risau dengan pengumuman ini. Adakah ini wajar?

Subsidi bersifat ‘hangus’. Sebagai contoh, subsidi petrol dijangka mencecah RM27 bilion. Pada harga RM2.05 seliter, setiap liter petrol yang ‘kita’ isi, kerajaan membelanjakan RM2.65 (anggaran harga pasaran RM4.70 seliter). Kalau tahun ini RM80 bilion, adakah kita wajar mengulanginya tahun hadapan?

Persoalannya, siapakah ‘kita’ yang mendapat subsidi ini? Si kaya-Si miskin. Rakyat Malaysia-Pendatang Asing. Yang Bekerja-Yang Bersuka. Yang Baik-Yang Jahat. Semua-semua! Sistem pemberian subsidi secara meluas ‘blanket-economy-wide’ ini sangat membebankan dan tiada tujuan sasaran yang khusus. Ini bukan cara yang mampan untuk membangunkan negara. Membeban dan merugikan!

Saya amat bersetuju dengan pandangan Menteri Kewangan seperti yang disuarakan beliau dalam akhbar The Edge baru-baru ini. Rasionalisasi subsidi BUKAN penghapusan subsidi. Kita MESTI menstruktur semula kaedah pemberian subsidi. Yang susah terus dibantu, bukan semua. Rakyat Malaysia mesti bersedia dengan penstrukturan ini.

Saya amat mengharap agar kita semua, kerajaan-rakyat-firma bersama dalam penstrukturan semula subsidi ini. Untuk Malaysia. Anggaran mudah saya, RM80 bilion hampir sama dengan pembinaan 267 buah hospital 300 katil (andaian RM300 juta sebuah) atau 4,000 buah sekolah rendah (andaian RM20 juta sebuah)! Sangat rugi kalau kita terus begini.

Sebagai contoh, sekiranya kita dapat mengurangkan hanya separuh, RM40 bilion sahaja, bayangkan apa yang boleh kita laksanakan untuk pembangunan jangka panjang negara! Secara bersasar, rakyat yang perlu dibantu akan mendapat bantuan yang lebih baik dan perbelanjaan kerajaan juga lebih mampan.

Beri ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan penstrukturan semula subsidi ini. Laksanakan dengan teratur, berjadual, dan jelas kepada semua. With determination and discipline, seperti kata Menteri Kewangan.

Sangat penting. Untuk kita semua. Untuk negara kita.

MINDA UKM: Berbelanja dengan betul dan memastikan kemampanan fiskal.

BERSAMBUNG

PENULIS adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif (MINDA-UKM). Beliau kini merupakan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Harvard University, Amerika Syarikat

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua lelaki rakyat Malaysia cedera terkena letupan bom di Tak Bai

DUA lelaki warga Malaysia dilaporkan cedera selepas terkena letupan bom dalam satu kejadian di Lebuhraya 42, Kampung Phrai Wan,...

More Articles Like This