PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat tidak akan mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tanpa sokongan UMNO dan Pas.
Menurut bekas Presiden Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, situasi Bersatu yang tidak mendapat sokongan yang diharapkan itu adalah balasan atas pengkianatan yang berlaku sebelum ini.
“Sebagai Kerajaan, UMNO akan tentukan bila PRU-15 akan diadakan.
“Mana dia Bersatu. Tidak berkuasa lagikah. Dalam PRU-15 pun Bersatu tidak akan menang. Sebab? Tidak dapat sokongan UMNO dan Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca lagi: Bersatu tak mungkin bekerjasama dengan UMNO
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, langkah Sheraton yang dilakukan untuk menjatuhkan beliau sebelum ini telah memulakan ketidakstabilan politik dalam negara.
Tegas Ahli Parlimen Langkawi itu, sebelum langkah Sheraton, semua Kerajaan dipilih melalui saluran pilihan raya umum.
“Mahiaddin (Tan Sri Muhyiddin Yasin) dan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang melangkah dan menjadi boneka dalam perancangan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak).
“Najib menggunakan ketamakan pemimpin Bersatu dan PKR untuk mengalahkan PH yang menang,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir turut membidas gesaan sesetengah pihak untuk menyegerakan PRU-15.
Beliau mendakwa, PRI-15 diadakan awal kerana parti pembangkan tidak dapat membahas Belanjawan 2023 yang dikemukakan kerajaan.
Dr Mahathir mendakwa, banyak ‘gula-gula’ akan diberi supaya rakyat akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
“Jangan peduli bulan November banjir besar, angin kencang. Ramai tak boleh undi. Ramai kehilangan rumah. Ramai ditempat tempat tertentu.
“Ramai yang akan cedera dan mati. Okaylah itu masalah mereka. Kerajaan akan tentukan penyokong UMNO boleh undi. Bantuan wang dan makanan boleh diberi,” katanya.
Dr Mahathir turut mempersoalkan pertambahan jumlah pekerjan kerajaan yang meningkat kepasa 1.7 juta orang dalam jangka masa beberapa tahun.
Dakwa beliau, gaji penjawat awam yang telah naik berkali-kali akan naik lagi dalam belanjawan baharu.
Katanya, 1.7 juta pegawai kerajaan dan keluarga sudah tentu akan memberi sokongan kepada kerajaan.
“Duit Kerajaan diguna untuk sogokan, tak usah bayar, tak bayar faedah pun.
“Jumlah hutang meningkat kerana tidak bayar. Itu masalah Kerajaan yang akan datang.
“Hari ini kemenangan UMNO boleh ditentukan. Menang PRU-15, akan menang PRU-16 dan PRU-17 dengan menggunakan kuasa dan duit kerajaan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

