PADA tahun 2014 di Pusat Kerja Besi British, Shropshire, United Kingdom, sebuah arca mula dihasilkan oleh seorang pereka seni tempatan, Alfie Bradley.

Rekaan setinggi 27 kaki itu tampak unik dan memiliki kisah tersendiri. Bentuknya seperti seorang manusia sedang berdiri yang mempunyai dua sayap besar di bahagian belakang badan. Kedua-dua tangan arca diletakkan ke arah hadapan seperti sedang menghulurkan bantuan.

Berdasarkan temu bual bersama Bradley, beliau mencipta arca itu sempena memperingati mangsa-mangsa yang terlibat dalam jenayah yang berlaku di United Kingdom.

Pada masa sama, ia bertujuan untuk mewujudkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai salah laku penggunaan objek tersebut yang boleh mendatangkan bahaya. 

Arca yang digelar ‘Knife Angel’ itu digambarkan seakan dewa yang menawarkan pertolongan kepada mangsa.

Arca ini dihasilkan menggunakan lebih 100 ribu bilah pisau.

Sewaktu proses menyiapkan arca itu, Bradley sudah menjangka ia akan menarik perhatian orang awam. Bukan disebabkan saiz semata-mata, tetapi juga kerana bahan asas yang digunakan pada karyanya itu.

Apa yang uniknya, arca ini diperbuat daripada lebih 100,000 bilah pisau. Sebahagian besar daripada senjata itu adalah yang terlibat dalam kes jenayah. Koleksi tersebut diperoleh daripada 43 pasukan polis tempatan berdasarkan pada kes-kes jenayah yang dilaporkan. Senjata tajam itu menjadi bahan bukti dalam kebanyakan kejadian malang yang melibatkan mangsa.

Malah, ada di antara pisau tersebut yang masih mempunyai kesan darah. Dalam situasi tersebut, Bradley akan menghilangkan kesan darah itu terlebih dahulu sebelum mengumpulkannya bersama pisau lain. Manakala sesetengah pisau yang lain dikutip di kawasan sekitar jalan dan melalui hasil derma orang ramai.

Bradley (tengah) mendapatkan sebahagian pisau daripada kes jenayah untuk digunakan dalam arcanya.
Bradley bersama arcanya.

Sepanjang proses pembuatan arca ini, terdapat nama mangsa yang diukir pada pisau sebagai penghormatan dan peringatan ke atas mereka. Ahli keluarga yang terlibat juga boleh menyampaikan mesej melalui pesanan yang digores pada pisau tersebut.

Bagi memastikan arca itu lebih selamat, kesemua senjata berkenaan akan disteril dan ditumpulkan terlebih dahulu. Kemudian, baru dipasangkan pada keseluruhan monumen sehingga selesai.

Idea penghasilan arca pisau ini diperoleh daripada sebuah dokumentari mengenai jenayah pisau serta keinginan untuk mendidik orang awam. Proses untuk menyiapkan arca ini mengambil masa beberapa tahun.

Tempoh yang lama diperlukan kerana melibatkan kerja-kerja pengumpulan pisau selain terpaksa berurusan dengan pihak polis. Tidak hanya itu, Bradley dan pasukannya turut berdepan bantahan daripada segelintir pihak yang merasakan arca itu tidak wajar dibina.

Arca ini siap sepenuhnya pada tahun 2018 dan sering dipamerkan di serata tempat di United Kingdom.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com