PELAKON Maya Karin berkongsi pengalaman mencemaskan apabila dirinya diserang anxiety atau kebimbangan melampau ketika berada di set penggambaran filem Telaga Suriram, semalam.

Menurut Maya atau nama penuhnya Maya Karin Roelcke,42, insiden berkenaan berlaku sekitar pukul 3 pagi sewaktu dia sedang melakonkan babak dalam air.

“Anxiety menyerang saya lagi ketika penggambaran babak dalam air. Saya terpaksa berehat seketika pada pukul 3 pagi dan perlu mengambil oksigen. Nasib baik ada pasukan medik di set.

“Itu yang pelik, bukannya saya tak boleh berenang ataupun tak biasa dengan air,” tulisnya di Instagram.

Jelas Maya, terlalu penat dan kurang rehat mungkin menjadi faktor utama serangan anxiety berlaku pada diirnya.

“Rasa-rasanya antara punca semalam adalah disebabkan jadual kerja yang terlalu padat di Singapura dan terus ke lokasi penggambaran untuk babak dalam air.

“Badan dan otak saya sangat penat. Otak saya macam ‘jem’ gila nak selam, tahan nafas dan berlakon tengah malam. Saya tidak boleh bernafas!,” kongsinya.

Sebelum ini, Maya pernah berkongsi keadaan dirinya yang diserang anxiety sejak lapan tahun lalu.