
Sebagai pemimpin dalam kerajaan, baik menteri mahupun ketua jabatan, sudah menjadi tugas mereka membuat kenyataan atau pendirian bagi meyakinkan rakyat untuk tidak panik apabila menerima pelbagai berita dari pelbagai sumber sahih, akan kemungkinan negara turut dilanda kegawatan ekonomi serta kemerosotan nilai mata wang. Kedua-dua krisis itu adalah fenomena global yang tidak mengecualikan mana-mana negara, kecil mahupun besar.
Dengan segala kepakaran yang ada, ditokok tambah pengalaman silam dalam menangani setiap krisis yang dilalui, tentunya amaran awal krisis berganda ini telah mereka kaji secara mendalam akan implikasinya dan apakah remedi yang wajar disediakan bagi mendepani krisis kali ini.
Bagi kami di Majlis Perundingan Melayu (MPM) , kami terkesan dengan kenyataan Tun Mohd Hanif Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM, semasa berucap memulakan randau ke-14 pada 30 September 2022 lepas, bertemakan “kemakmuran negara tempang, dilanda krisis ekonomi dan kewangan”. Kenyataan beliau itu adalah manifestasi kepada kepekaannya terhadap denyut nadi dan suara-suara hiba dalam kalangan PMKS bumiputera, di dalam 22 kluster ekonomi, yang bersekutu dengan MPM.
Di MPM juga berteduhnya komuniti usahawan masyarakat Orang Asli yang diterajui Yusof Alif. Malah, di MPM jugalah salah satu landasan Mejar (B) Mior Rosli bergerak menerajui kumpulan yang menggelarkan diri mereka Veteran 6622, yang ramai daripadanya dalam gerakan ini tersenarai sebagai miskin tegar dan gelendangan.
Sebagai tokoh negarawan yang amat dihormati, tidak mungkin Tun Hanif dengan sesedap mulut ingin menempelak kerajaan dengan hentaman sembrono. Bila beliau bersuara sedemikian pastinya ia adalah resonan kepada gelombang bunyi yang singgah ke telinganya.
Ada benarnya kebimbangan yang beliau suarakan, makanya Tan Sri Johan Jaaffar yang hadir sama di randau itu turut menyiarkan satu rencana di UtusanTV, yang senada dengan keluhan Tun Hanif. Rencana bertajuk 2023 tahun ‘gelap’? Takkan Malaysia juga ikut ‘bergelap” yang disiar UtusanTV turut berada sama.
Terkini, dengan cara yang cukup sopan dan berlapik, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, memberikan huraian menyongsang kepada kenyataan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia dan Menteri Kewangan.
Beliau bersuara dari perspektif rakyat jelata dan usahawan tempatan yang lebih 97% mereka ini dikategorikan sebagai usahawan mikro. Beliau seolah-olah bersuara bagi pihak lebih 90% pengekspot tempatan (majoriti PMKS) yang hanya menyumbang sekitar 10% saja nilai eksport negara.
Saya menulis rencana ini bukan untuk mengulas lagi ulasan oleh keempat-empat penulis itu yang sudah pun para pembaca sekelian sedia maklum dan terima hakikatnya. Bukan juga untuk membidas kenyataan oleh kedua-dua wakil kerajaan, untuk dilagakan dengan keluhan dan kebimbangan yang disuarakan.
Rakyat hari ini jauh lebih cerdik dan bijaksana dalam membuat penilaian sendiri terhadap kesemua rencana itu.
Apa yang cuba saya lakukan ialah untuk mendesak semua lapisan masyarakat, terutama dalam kalangan marhaen, kembali mendakap budaya swatadbirurus diri, sehebat mereka sezaman Pahlawan Mat Kilau.
Dalam kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai RM (dengan jolokan “see you at 5.00”), kerajaan boleh tulis apa saja untuk meyakinkan rakyat. Terpulang kepada rakyat untuk membina keyakinan masing-masing dengan jaminan (assurance) kerajaan itu.
Bila tiba masanya kegawatan berada dalam rumah kita, kitalah yang lebih mengetahui nilai sebenar RM yang kita ada. Kitalah yang tahu sama ada kais pagi dapat makan pagi atau pun tidak. Jika kepayahan hidup telah begitu takdirnya nanti, menuding jari ke arah siapa saja, waima kepada Perdana Menteri sekalipun, tidak memberikan apa juga penyelesaian.
Budaya swatadbirurus diri (self-governance culture) yang saya maksudkan ialah budaya berdikari setiap orang daripada kita yang kurang bergantung harap kepada mana-mana pihak ketiga, termasuk kerajaan, bagi menyediakan kita “tongkat” untuk meneruskan kehidupan atau mengekalkan bisnes yang diceburi, bagi memakmurkan kehidupan kita.
Juga terangkum di dalamnya budaya peer-governance yang diutamakan dalam pembangunan sesebuah masyarakat madani. Malah budaya gotong-royong adalah juga sebahagian daripada budaya swatadbirurus yang dimaksudkan.
Budaya swatadbirurus bukan bermakna kita menolak apa juga bentuk bantuan atau mudahcara yang kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa tawarkan kepada kita. Jika ia memang diperuntukkan untuk kita atau kita selayaknya menerima bantuan atau mudahcara itu, tidak bijaksanalah jika ditolak, kecuali jika kita merasakan ia lebih afdal diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.
Budaya swatadbirurus juga bukan bermaksud kita membina budaya menentang siapa juga yang memerintah. Budaya ini ialah budaya pengurangan kebergantungan kita kepada pihak lain atau pihak berkuasa. Budaya ini ialah budaya yang konsisten dengan amalan dalam kehidupan masyarakat madani oleh para ahli sunnah waljamaah.
Majoriti dalam kalangan kita yang seangkatan dengan saya pernah hidup berkaki ayam ke darat dan ke baruh. Majoriti dalam kalangan kita ini pernah hidup makan ubi rebus bercampur jagung bersayur bayam kuah warna ungu. Sungguh berwarna-warni hidangan dalam pinggan kita. Kita redha dan kita bina naluri survival yang kental bagi laluinya. Jika ditakdirkan kita terpaksa kembali ke era itu pastinya kita lebih siapsiaga berdepan dengan pelbagai kemungkinan.
Di pihak kerajaan, kamu teruskanlah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh kebersihan, kecekapan dan amanah. Di pihak kami rakyat, insya-Allah dengan izinNya jua kami mampu menterjemah apa juga pelan kontingensi atau remedi yang kerajaan sediakan, jika ia diadun untuk dilaksanakan dengan adil dan saksama.
Sekali lagi dan sebagai penutup, saya bagi pihak MPM dengan ini mendesak semua lapisan masyarakat bangsaku untuk segera bangkit bertekad membina semula budaya swatadbirurus yang menjadi kebanggaan datuk nenek kita dulu.
Selamat mengharungi krisis ekonomi-kewangan yang sudah pun membadai.
Penulis adalah
Setiausaha Agung MPM

