Dua anggota MALBATT cedera akibat serangan udara di Lubnan

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

DUA anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 cedera ringan selepas konvoi logistik yang mereka sertai terkena kesan sampingan daripada satu serangan udara di selatan Lubnan, pagi tadi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 9.25 pagi waktu tempatan, sekitar satu kilometer di barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di Tibnin.

Beliau berkata, ketika kejadian, konvoi logistik MALBATT 850-13 sedang melaksanakan misi ulang bekal rutin menuju ke Tyre.

“Akibat kejadian itu, dua anggota terkena serpihan cermin kenderaan dan mengalami kecederaan ringan.

“Dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengalami kerosakan material luaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) MALBATT 850-13 dari UNP 6-43 segera diaktifkan sejurus insiden berlaku dengan sokongan pasukan perubatan dan elemen logistik.

Katanya, pasukan terbabit melaksanakan penilaian keselamatan di lokasi kejadian, memeriksa keadaan anggota dan kenderaan serta mengatur pergerakan konvoi untuk kembali ke pangkalan dengan selamat.

“Kedua-dua anggota yang cedera telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden ini,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, waris anggota yang terbabit juga telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Susulan insiden itu, MALBATT 850-13 mengambil beberapa langkah tambahan bagi memperkukuh keselamatan anggota termasuk memperketat prosedur pergerakan konvoi dan meningkatkan pemantauan terhadap situasi keselamatan semasa.

Selain itu, koordinasi dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) turut diperkukuh di samping pelaksanaan penilaian risiko yang lebih menyeluruh sebelum sebarang pergerakan di kawasan operasi.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau perkembangan keselamatan di kawasan operasi bagi memastikan tahap kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Keselamatan anggota dan kelancaran pelaksanaan mandat misi pengaman Malaysia di Lubnan akan terus menjadi keutamaan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua suspek curi peti wang penjual nasi lemak direman hingga 12 Jun

DUA lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian peti wang dan telefon bimbit milik seorang penjual nasi lemak di...

More Articles Like This