Hujan boleh susut hingga 60 peratus, MTEN pantau risiko El Nino

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KERAJAAN kini memperhebat langkah kesiapsiagaan menghadapi fenomena El Nino yang dijangka bermula bulan ini dan berlarutan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun depan, susulan kebimbangan terhadap kesannya ke atas bekalan makanan, air dan tenaga negara.

Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, fenomena cuaca ekstrem itu turut berpotensi memburukkan lagi tekanan terhadap krisis tenaga global yang sedang berlaku akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menurut beliau, isu berkenaan telah dibawa ke perhatian Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan langkah mitigasi dapat dilaksanakan lebih awal.

“Selain isu geopolitik, kerajaan turut memberi perhatian kepada risiko cuaca ekstrem termasuk fenomena El Nino yang dijangka bermula pada Jun dan berterusan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan 2027.

“Fenomena ini juga boleh menambah tekanan kepada krisis tenaga yang sedang berlaku ketika ini,” katanya dalam taklimat secara langsung mengenai krisis tenaga hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, El Nino dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering dengan jumlah taburan hujan di beberapa negeri berkemungkinan merosot antara 40 hingga 60 peratus.

Beliau berkata, situasi itu boleh menjejaskan bekalan air, meningkatkan risiko jerebu, memberi tekanan kepada sektor kesihatan awam serta menjejaskan pengeluaran hasil pertanian dan komoditi negara.

Menurutnya, permintaan tenaga juga dijangka meningkat susulan penggunaan elektrik yang lebih tinggi ketika cuaca panas berpanjangan.

Mengimbau fenomena El Nino pada 2015 dan 2016, beliau berkata suhu yang melebihi 37 darjah Celsius ketika itu menyebabkan kira-kira 250 sekolah di negeri-negeri utara Semenanjung terpaksa ditutup.

“Malah, industri sawit turut merekodkan penurunan pengeluaran antara 16 hingga 18 peratus sepanjang tempoh tersebut.

“Apabila El Nino berlaku, sektor komoditi utama akan menerima kesan ketara termasuk kemungkinan pengurangan hasil tanaman secara purata antara lapan hingga 10 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Akmal Nasrullah berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengaktifkan langkah kesiapsiagaan awal termasuk persediaan melaksanakan operasi pembenihan awan sekiranya keadaan menjadi lebih kritikal.

Beliau berkata, MTEN turut memutuskan supaya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyelaras sesi libat urus bersama kerajaan negeri bagi memberi taklimat mengenai risiko El Nino dan mempercepatkan persediaan di peringkat negeri.

Menurutnya, kerajaan akan terus menggunakan MTEN sebagai platform utama penyelarasan dasar untuk memantau perkembangan semasa, mengambil tindakan awal dan melaksanakan intervensi bersasar bagi mengurangkan impak fenomena tersebut.

“Kerajaan mahu memastikan negara bersedia lebih awal supaya sebarang kesan terhadap bekalan makanan, air dan tenaga dapat diminimumkan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This