Data biometrik pelarian dikumpul, kerajaan mahu kawalan migrasi lebih ketat

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menegaskan pelaksanaan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan atau hak menetap kekal kepada pelarian.

Sebaliknya, tegas KDN, ia bagi memastikan kerajaan memiliki data lengkap untuk memperkukuh keselamatan negara dan pengurusan migrasi.

Menurut KDN, Malaysia telah berdepan kehadiran pelarian dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sejak berpuluh tahun lalu.

Namun, tegas KDN, kerajaan masih tidak mempunyai maklumat menyeluruh mengenai jumlah sebenar, identiti serta latar belakang golongan tersebut.

KDN memaklumkan, keadaan berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana sebarang dasar dan keputusan berkaitan migrasi perlu berasaskan data yang tepat, sahih dan dimiliki kerajaan sendiri.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dalam negeri dan mengurus migrasi negara, KDN perlu memastikan setiap dasar yang dilaksanakan berpaksikan data yang tepat serta boleh disahkan.

“Kita tidak boleh mengurus sesuatu yang tidak dikenali dan tidak boleh menjaga keselamatan negara tanpa mengetahui dengan jelas siapa yang berada dalam sempadan negara,” jelas KDN dalam kenyataan.

KDN memaklumkan, proses DPP sedang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di Semenanjung Malaysia berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023).

Jelas KDN, proses berkenaan melibatkan pemegang dokumen UNHCR serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.

Melalui pelaksanaan DPP, KDN memberitahu, kerajaan akan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti yang lebih terperinci bagi membolehkan status, lokasi serta latar belakang individu terbabit dikenal pasti dengan lebih tepat.

KDN menegaskan, maklumat tersebut penting bagi membantu kerajaan menilai implikasi keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.

Selain itu, jelas KDN, data yang diperoleh juga akan digunakan untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta langkah penguatkuasaan berkaitan pelarian dan pemegang kad UNHCR.

Bagaimanapun, kementerian itu menegaskan proses DPP tidak sama sekali membawa kepada pemberian taraf kewarganegaraan, pemastautin tetap atau hak untuk tinggal secara kekal di negara ini.

“Prinsip kerajaan adalah jelas. Keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi.

“Pada masa sama, isu pelarian perlu diuruskan secara teratur, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa,” menurut KDN.

Menurut KDN, Kerajaan MADANI percaya pengurusan migrasi yang berkesan hanya dapat dilaksanakan melalui data yang tepat dan boleh dipercayai.

Justeru, pelaksanaan DPP disifatkan sebagai langkah penting ke arah mewujudkan sistem pengurusan migrasi yang lebih tersusun, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Satu lawan satu buat Onn Hafiz di Machap

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) dalam usaha...

More Articles Like This