AHMAD MASLAN

TINDAKAN 12 anggota Jemaah Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyatakan pendirian mereka tidak bersetuju pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini, disifatkan tidak wajar.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tindakan menteri Kabinet daripada Bersatu dan PAS itu secara tidak langsung melambangkan ketidakpercayaan mereka terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan boleh menjejaskan keabsahan kerajaan.

“Ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak baik berlaku dalam pentadbiran sekarang bila ada 12 menteri yang tulis surat sedemikian rupa walhal selaku ahli Kabinet mereka boleh menyelesaikan dalam mesyuarat Kabinet.

Baca artikel berkaitan: Menteri PN utus surat kepada Agong tidak mahu PRU-15 tahun ini

“Semakin kurang keabsahan (dalam kerajaan) kalau 100 peratus keabsahan sekarang tinggal 60 peratus sahaja, 40 peratus keabsahan sudah hilang. Sewajarnya surat itu tidak disebar, permasalahan seperti itu boleh dibincang dalam Kabinet,” katanya kepada pemberita sebelum merasmikan mesyuarat Puteri UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO Pontian, hari ini.

Ahmad mengulas tindakan 12 menteri daripada Bersatu dan PAS yang menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan ketidaksetujuan melaksanakan PRU15 tahun ini dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata kesemua 191 bahagian membabitkan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRU15 yang semakin hampir.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram