Gambar hiasan.

Seorang penjawat awam terpaksa berputih mata selepas kerugian RM468,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam, di Batu Pahat, sejak Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata wanita berusia 38 tahun itu terpedaya setelah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada 4 Ogos lepas.

“Melalui panggilan yang dibuat oleh individu berkenaan, dia menyatakan mangsa terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram dan dalam masa yang sama menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes terbabit.

“Antara syarat untuk menyelesaikan kes itu, mangsa perlu membuat pembayaran ke dalam akaun bank yang diberikan dan mangsa percaya dengan membuat pembayaran sejumlah RM70,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Ismail lagi, lelaki berkenaan juga meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan dalam talian milik mangsa kepadanya kononnya untuk tujuan siasatan.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila dia mendapati terdapat wang berjumlah RM398,000 dipindahkan menerusi dalam talian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan juga denda.

“Kami nasihatkan orang ramai lebih berhati-hati apabila menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali, selain membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu,” kata Ismail.

— BERNAMA