Shahril Sufian Hamdan.

BAJET 2023 bukanlah belanjawan pilihan raya kerana ia bajet yang menggambarkan kompetensi dalam mengurus situasi dan kemampuan membina negara bukan hanya untuk hari ini.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, menerusi bajet itu, ia tidak meminta rakyat agar mengikat perut untuk membantu kerajaan seperti Perdana Menteri 2019.

Menurutnya, ada komentar menyifatkan Bajet 2023 sebagai belanjawan untuk pilihan raya sehinggakan parti pembangkang pun terpaksa menyerang soal pelaksanaannya.

Malah katanya, ia tidak semata-mata kerana bantuan tunai meletakkan wang ke dalam saku rakyat kebanyakan dan bukan semata-mata subsidi.

“Tetapi jauh lebih dari itu, kerana ia bajet yang menggambarkan kompetensi dalam mengurus situasi dan kemampuan membina negara bukan hanya untuk hari ini.

“Ia (bajet) tidak minta rakyat berkorban seperti Menteri Kewangan 2019. Tidak juga menjanjikan bulan, bintang dan kereta terbang.

“Tetapi bajet yang bervisi sambil berpijak di bumi nyata, demi kemaslahatan Keluarga Malaysia. Itu bezanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, Bajet 2023 yang diumumkan bukan semata-mata mengambil hati dengan bantuan tunai walaupun mengakui ia paling tinggi dalam sejarah mana-mana bajet.

Namun katanya, bajet kali ini tidak langsung melupakan agenda jangka panjang yang bukan bersifat populis semata-mata.

“Misalnya perbelanjaan pembangunan RM95 bilion iaitu terbesar dalam sejarah. Misalnya langkah-langkah dan perbelanjaan yang diumumkan dalam menarik pelaburan dalam industri-industri yang dikenalpasti disamping mencapai sasaran top 10 negara berdaya saing di dunia.

“Ataupun segala langkah ke arah sasaran karbon neutral, termasuklah pengecualian fi AP untuk kenderaan elektrik, dan peluasan kemudahan pengecasan supaya kenderaan berharga sederhana juga dapat membanjiri pasaran.

“Ini hanya beberapa contoh ringkas menggambarkan bahawa kalau pihak lain hendak menyifatkan ini sebagai Bajet Pilihanraya (pihak lain, bukan saya), mungkin sebab mereka khuatir rakyat mampu menilai beza langkah dan tema Bajet ini berbanding beberapa tahun sebelumnya,” katanya.