YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke London, United Kingdom bagi mengadakan lawatan khas.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, lawatan khas Seri Paduka berdua itu mulai esok hingga 16 Oktober ini.
Dalam rangka lawatan khas itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka berdua akan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain, Raja Charles III di Istana Buckingham, London, Rabu ini.
Menurut beliau, keberangkatan Seri Paduka berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Al-Sultan Abdullah dengan Raja Charles III.
“Seri Paduka menjalin persahabatan dengan Raja Charles III sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.
“Kunjungan hormat ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan United Kingdom sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Agong titah agensi terlibat, rakyat bersedia hadapi risiko banjir
Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London iaitu Stesen Janakuasa Battersea.
“Berkeluasan 16.99 hektar, Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah membabitkan usaha sama antara Sime Darby Property; SP Setia Berhad; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak tahun 2012 dengan nilai pembangunan kasar berjumlah sembilan bilion pound (RM51.53 bilion).
“Seri Paduka berdua dijadual mengakhiri lawatan khas dan berangkat pulang ke tanah air pada 16 Oktober,” katanya.
Dari segi hubungan dua hala, UK merupakan rakan dagang ke-18 terbesar negara pada tahun 2012 dengan jumlah dagangan direkodkan sebanyak RM17.17 bilion, peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tahun 2020.
Nilai eksport Malaysia ke UK pada tahun lalu adalah sebanyak RM9.78 bilion manakala nilai import berjumlah RM7.39 bilion.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

