Hampir semua UMNO bahagian sokong Ismail Sabri PM selepas PRU15

Dari Penulis

MESYUARAT Perwakilan UMNO bahagian yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu menyaksikan hampir semua daripada 191 bahagian meluluskan usul bagi menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Iltizam yang dizahirkan anggota akar umbi pada mesyuarat bahagian itu adalah inisiatif bahagian masing-masing dan tiada sebarang arahan untuk mereka berbuat demikian, seperti ditegaskan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata usul yang diluluskan bahagian adalah selaras dengan ketetapan dibuat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini untuk menjadikan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Seperti kata Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), ia suatu yang telah ditetapkan,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Malah, Ahmad Zahid kelmarin dilaporkan berkata Ismail Sabri kekal sebagai “poster boy” BN dan calon Perdana Menteri pada PRU15 selain menegaskan pendirian berhubung perkara itu tidak berubah sekiranya BN berjaya mentadbir Putrajaya.

Pada 14 April lalu, MT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.

Baca artikel berkaitan: UMNO Padang Terap lulus usul sokong Ismail Sabri terus jadi Perdana Menteri

Sementara itu, menurut sumber, sebanyak 132 UMNO bahagian telah mengemukakan dan meluluskan usul berkenaan pada mesyuarat masing-masing yang selesai diadakan di seluruh negara.

Antara bahagian yang dilaporkan media telah meluluskan usul berkenaan adalah Machang dan Ketereh di Kelantan; Tenggara, Pontian, Parit Sulong dan Tebrau di Johor; Alor Gajah (Melaka); Tampin dan Jelebu (Negeri Sembilan); Padang Terap (Kedah); Arau (Perlis); Kuala Terengganu (Terengganu) dan Libaran (Sabah).

Selain itu, usul berkenaan turut diluluskan oleh semua 13 UMNO bahagian di Pulau Pinang seperti yang disahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Masih terdapat dua Bahagian UMNO lagi di Perak yang belum bermesyuarat iaitu Taiping dan Bukit Gantang.

Malah Bahagian-Bahagian UMNO yang diketuai oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri juga membuat usul yang sama seperti Datuk Seri Jamil Khir (Kedah), Datuk Seri Saarani Mohamad (Perak), Tan Sri Noh Omar (Selangor), Datuk Seri Ab Rauf Yusof (Melaka), Datuk Seri Utama Hasni Mohammad (Johor), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang), Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu), Datuk Wira Ahmad Jazlan Yaakub (Kelantan) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Sabah).

Pengerusi Perhubungan yang tidak membuat usul tersebut adalah, Datuk Seri Azlan Man (Perlis), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan (Negeri Sembilan).

Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa kelmarin turut dilapor berkata sokongan kepada Ismail Sabri adalah berdasarkan keupayaan beliau menstabilkan semula suasana politik negara, walaupun menerajui kerajaan campuran.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menerusi catatan di Facebook semalam berkata bahagian itu turut meluluskan usul berkenaan pada mesyuarat bahagian pada Sabtu bagi membolehkan agenda membela rakyat diteruskan.

“Presiden UMNO sendiri menyokong Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri daripada UMNO dan perkara ini telah diputuskan MT UMNO. Keputusan ini adalah secara kolektif iaitu membabitkan suara akar umbi di bahagian dan juga cawangan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika dihubungi berkata sokongan kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri sekiranya BN memenangi PRU15 adalah supaya solidariti antara presiden mentadbir parti dan perdana menteri memimpin kerajaan dapat dilihat baik dan harmoni.

Beliau berkata perkara itu adalah keputusan dalam mesyuarat MT UMNO sebelum ini dan hal tersebut diulangi dalam ucapan Ahmad Zahid pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bagan Datuk, semalam.

“Oleh itu ketetapan yang dibuat adalah tidak berubah. Dalam dinamik politik akibat ketidakstabilan, UMNO yang ingin stabil perlu jelas pilihannya dalam PRU15,” katanya.

– BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Akses portal 2 Ahli Parlimen PKR disekat kerana pilih gerakan menentang kerajaan

PKR menegaskan tindakan menyekat akses portal MyKhas untuk dua Ahli Parlimennya adalah kerana mereka memilih untuk bersama dengan gerakan...

More Articles Like This