SERAMAI 81 pemain berentap pada kejohanan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) edisi ke-13 yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Kuala Lumpur hari ini.
Daripada jumlah itu, 48 adalah pemain remaja lelaki dan 33 remaja perempuan yang kesemuanya ditampilkan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Akademi Tunas Bestari (ATB).
Kebanyakan pemain muda yang dibawa MGA adalah pemain negara dan dipilih berdasarkan prestasi tertinggi, dan sebahagian mereka bermain serta belajar atas biaya geran pembangunan golf terutamanya di Amerika Syarikat.
Manakala ATB yang dinaungi TSMCG pula mengetengahkan pemain mereka yang berbakat iaitu Ezzekiel Riz Hafi Suzearitz, 14; Alya Batrisya Shaari, 15; Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani, 14, dan See Wye, 16 tahun.
Hari pertama kejohanan TSMCG edisi ke-13 ini dimulakan secara serentak (shotgun start) di mana 14 flight bermula lubang satu (first nine) dan 13 flight lagi di lubang 10 (2nd nine).
Semua pemain berentap di lapangan East Course dengan kelajuan green 10.4 stimpmeter.
Kejohanan kali ini menyaksikan sedikit kelainan apabila hadiah kategori perempuan dinaikkan setaraf dengan hadiah kategori lelaki.
Menurut kenyataan sekretariat, selain trofi, juara kedua-dua kategori masing-masing juga akan menerima biasiswa Tan Sri Muhyiddin Yassin Charity Golf (TSMCG) bernilai RM30,000, ke arah meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam sukan golf.
Terdapat dua kategori untuk kejohanan ini iaitu Lelaki (Bawah 21) – kategori MGA WHS Handicap Index 8.3 dan ke bawah, dan Perempuan (Bawah 21) – kategori MGA WHS Handicap Index 10.3 dan ke bawah, dengan bentuk permainan ‘Stroke Play’.
Kejohanan amatur yang dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Golf Amal TSM ini bukan sahaja memberi peluang kepada pemain-pemain muda mempamerkan kemahiran mereka, tetapi ia juga boleh diklasifikasikan sebagai laluan terbaik untuk mereka mengejar impian menjadi seorang pemain golf profesional yang berjaya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

