PENYANYI dan penulis lirik, Mafarikha Akhir dimasukkan ke wad kritikal di sebuah pusat perubatan di Kajang, Selangor selepas dijangkiti Covid-19 tahap lima.
Menurut Mafarikha atau Mafa, pada mulanya dia menganggap ia keracunan makanan selepas mengalami simptom muntah-muntah ketika bercuti di Istanbul, Turkiye bersama suaminya, Muhammad Zariq Noorulyusaa.
“Saya mati-mati ingat keracunan makanan selepas makan di sebuah kedai. Sebab itu satu-satunya makanan yang saya dan ZC (suami) tidak kongsi.
“Pada malam 19 Oktober, badan saya mula menggigil sepanjang malam. Kemudian keesokan harinya, saya tidak boleh makan dan minum, mesti muntah walaupun hanya satu teguk.
“Suami saya tidak mengalami apa-apa masalah kesihatan, dia sihat. Saya yang lemah dan tidur pun tak boleh. Pada hari seterusnya, memang tak boleh makan, minum air memang paksa telan sebab kalau tidak, tak ada apa nak di muntahkan.
“Perkara itu berlarutan sampailah tarikh nak balik ke Malaysia, saya bertahan lama dengan ubatan daripada farmasi dekat Istanbul yang langsung tiada tulisan bahasa Inggeris,” katanya.
Ujar Mafa lagi, keadan kesihatannya sangat lemah sehingga tidak mampu berdiri lama serta kakinya berasa kebas dan mahu pitam.
“Sampai Malaysia (semalam) terus pergi hospital tapi disebabkan terlalu yakin keracunan makanan, hospital yang saya pergi tak ada pusat Covid jadi kena pergi ke Hospital Kajang.
“Keadaan saya buat masa ini, okay saja. Masalahnya, deria rasa memang ada, kalau tidak, tak ada maknanya layankan Starbucks untuk beberapa hari di Istanbul sebab nak kena ada energi kerana tak boleh makan.
“Masa pergi hospital pertama, dia cakap saya positif Covid dah dalam empat hingga lima hari dan saya diberikan ubat. Kemudian, saya pergi ke hospital kerajaan, ke laut, ke langit tekanan darah semua,” kongsinya lagi.
Mafa akui terkejut selepas dimaklumkan oleh pakar perubatan mengenai kesihatannya yang dijangkiti wabak Covid-19 tahap lima.
Malah, dia memaklumkan perlu berada di wad kritikal sebelum dipindahkan ke wad Covid biasa.
“Ini kali kedua saya masuk hospital. Kali pertama dulu pada 2012. Manalah tak terkejut masa memula tahap empat, dah check paru-paru dan semua tiba-tiba tahap lima.
“Tapi rasa macam dah okay sedikit paru-paru ini. Cuma masih perlukan bantuan mesin.
“Minumlah air banyak mana pun, tetap rasa macam tak minum. Bibir pecah, gusi bengkak, gigi semua kasar, rimaslah sebab kering.
“Rasanya kalau tak vaksin lagi hauk tahap lima ini. Dan proses untuk sembuh itu macam terlalu pantas,” kongsinya lagi.
Mafa turut memberitahu, suaminya disahkan negatif Covid-19.
Sehingga artikel ini ditulis, Mafa berpuasa dari petang semalam disebabkan paras oksigen dalam badan hanya 10 peratus.

