Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad GAMBAR: Abd Razak Aid

TIDAK mungkin untuk Gerakan Tanah Air (GTA) menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana beliau berkata GTA hanya mahu menjalin kerjasama dengan parti yang sependirian dengan gabungan itu, dan tidak mungkin untuk berkerjasama dengan mana-mana pemimpin atau parti terpalit isu rasuah.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), GTA akan mengkaji dengan lebih lanjut sekiranya gabungan yang membentuk kerajaan Sabah itu, menyatakan minat untuk berkerjasama selepas PRU15.

“Kerjasama kita kena pilih (pemimpin dan parti)…mungkin (kerjasama) semua mungkin, cuma tidak mungkin kita berkerjasama dengan BN, PN dan PN,” katanya pada sidang media selepas Ceramah Perdana Pejuang Negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Ketua Pejuang Negeri Sabah Nicholas Sylvester.

GTA merupakan pakatan empat parti politik iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Anwar yakin PH peroleh majoriti mudah

Pada PRU-15, calon GTA bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra.

GRS pula dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama dengan BN bagi mentadbir negeri itu.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata pemimpin di Sabah tidak boleh mengehadkan pergerakan mereka hanya di Negeri di Bawah Bayu itu sekiranya bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, sebaliknya perlu mendapatkan sokongan di Semenanjung dan juga Sarawak.

Beliau berkata Perlembagaan Malaysia tidak mengehadkan individu dari mana-mana kawasan di negara ini untuk menjadi Perdana Menteri namun individu itu perlu mendapatkan sokongan untuk memegang jawatan itu.

“Orang Sabah pun layak jadi Perdana Menteri, masalahnya populariti sama ada dapat sokongan atau tidak, kita harap mereka datang ke Semenanjung juga Sarawak, supaya mereka boleh dikenali,” katanya.

Ditanya tentang Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membawa partinya ke Semenanjung, Dr Mahathir berkata Mohd Shafie mempunyai hak menjadi Perdana Menteri menurut Perlembagaan, namun perlu mendapatkan sokongan jika mempunyai niat sedemikian.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram