
KHAIRY Jamaluddin bernasib baik, masih ada sinar untuknya. Walau pun dianggap vokal dan berlaga haluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dia masih diberi peluang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Nasibnya tidak seperti Shahidan Kassim, Annuar Musa atau Noh Omar yang digugurkan.
Jika ada pun hukuman dikenakan terhadap Menteri Kesihatan sementara merangkap mantan Ahli Parlimen Rembau itu ialah dia dibiarkan berteka teki mengenai kedudukannya, sama ada terpilih bertanding atau tidak. Jika bertanding, di mana.
Khairy terlepas genggaman mempertahan kerusi Rembau, Negeri Sembilan kerana bosnya iaitu ketua bahagian, yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat, mahu bertanding di kerusi yang dianggap selamat itu.
Sebagai timbalan ketua, Khairy terpaksa akur dengan kehendak Tok Mat. Nasibnya bagai tidak menentu. Senario paling buruk Khairy gambarkan ialah tidak tersenarai bertanding PRU-15.
Kemudian timbul cerita dia mungkin bertanding di Tampin atau Kuala Pilah. Bagaimana pun laluan sukar kerana pemimpin dan ahli UMNO bahagian berkenaan mahu calon anak tempatan. Nasib Khairy terus samar. Dia kemudian memberi bayangan akan diberi kawasan berisiko untuk ditandingi. Juga mungkin di luar Negeri Sembilan.
Benarlah ini menjadi kenyataan. Pada majlis penamaan calon Barisan Nasional (BN) 1 November lalu, Khairy diumumkan bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh, Selangor. Kawasan tersebut memang berisiko kerana dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14 dengan majoriti besar.
BERITA BERKAITAN Khairy mahu bawa kejayaan di Rembau ke Sungai Buloh
Calon PKR, S Sivarasa menang selesa dengan majoriti 26,634 undi. Beliau mendapat 43,631 undi, menewaskan calon Pas, Ustazah Nuridah yang memperoleh 16,997 undi dan calon BN, A Prakash Rao yang memperoleh 16,681 undi, menduduki tempat ketiga.
PKR telah membina tapak kukuh di Sungai buloh. Sivarasa memegang kerusi tersebut untuk tiga penggal sejak PRU-12 pada 2008 dan PRU-13 pada pada 2013 ketika kawasan itu dikenali sebagai parlimen Subang.
Pada PRU-12, Sivarasa memperoleh 35,024 undi menewaskan calon BN, S Murugesan yang memperoleh 28, 315. Majoriti 6,709 undi. Pada PRU-13, Sivarasa memperoleh 66,268 undi menewaskan calon BN, Prakash Rao yang memperoleh 39,549 undi. Majoriti 26,719 undi. Pencapaian dalam tiga PRU menyerlahkan pencapaian konsisten Sivarasa dan PKR.
Untuk rekod, jumlah pengundi berdaftar Sungai Buloh pada 2018 ialah 90,707 orang. Sejumlah 66 peratus adalah pengundi Melayu, 22 peratus pengundi Cina, 11 peratus pengundi India, manakala selebihnya lain-lain sebanyak dua peratus.
Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya parlimen Sungai Buloh, Mohd Jusni Hashim, pada penamaan calon 5 November lalu, jumlah pengundi terkini ialah 158,090 orang.
Pencapaian PKR pada PRU-13 dan PRU-14 menampakkan majoriti pengundi terus setia bersama Sivarasa dan parti itu. Cuma kali ini kelainannya ialah Sivarasa tidak bertanding. Tempatnya digantikan oleh Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R Ramanan.
Memetik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, perbincangan bagi memlih calon Sungai Buloh dianggap paling rumit. Beliau sendiri berpendapat Sivarasa patut mempertahankan kerusi tersebut. Namun presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak setuju kerana Sivarasa ada masalah kesihatan.
Sivarasa sendiri menerima hakikat penggugurannya. Namun beliau menyeru semua pihak bersatu bagi memastikan memastikan kerusi tidak terlepas. Juga demi kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU-15.
Rekod PKR inilah yang menjadi benteng kukuh untuk dpecah Khairy di Sungai Buloh. Namun dia tekad menerima cabaran serta bersedia menggalas tanggung jawab merampas kerusi di kawasan berisiko itu, yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, termasuk dua calon Bebas.
Semangat ini membara di sebalik spekulasi kononnya dia sengaja dihantar ke Sungai Buloh untuk menamatkan karier politiknya. Dia optomis melaksanakan misi ‘mission impossible’ dan yakin boleh membuat kejutan. Namun laluannya penuh duri. Kata orang putih ‘an uphill battle’ untuk merampas kerusi tradisi lawan sejak tiga penggal.
Tidak mudah menawan pengundi setia PKR. Mungkin mampu menarik sejumlah tertentu menyeberang sempadan dan mengurangkan majoriti. Tetapi untuk menarik kesemuanya bertukar arah adalah tugas berat.
Mungkin kehadiran calon Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dianggap pesaing utama, boleh memecah undi yang memberi kelebihan kepada Khairy. Juga Khairy boleh berharap kepada pengundi atas pagar, serta sokongan pengundi 18 tahun yang pertama kali turun gelanggang.
Selain itu, senjata berharga Khairy ialah kapasitinya sebagai Menteri Kesihatan yang dilihat mengemudi kementerian itu dengan baik ketika menghadapi pandemik Covid-19. Kebetulan, Hospital Sungai Buluh dalam kawasan itu.
Dia juga dilihat sebagai ikon pemimpin muda berkalibar untuk menjadi pemimpin masa hadapan. Aspek ini, ditambah dengan kepetahan bercakap serta berinteraksi dengan orang ramai, boleh menjadi fakor memikat atau appealing factor di kalangan pengundi, terutama golongan muda.
Dalam filem-filem ‘Mission: Impossible’, Ethan Hunt (Tom Cruise) berjaya melaksanakan misi yang sukar dan dianggap mustahil selepas melalui pelbagai halangan. Mampukah Khairy menjadi seperti Ethan dan menjadi ‘giant killer’ di Sungai Buloh, atau adakah beliau akan rebah? Pengundi akan memberi jawapan pada 19 November.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

